suria

Tarif air naik tahun ini, tapi kerajaan jamin kenaikan tak akan bebankan rakyat

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kadar tarif air mungkin akan dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar berkata kenaikan tarif sumber asli tersebut perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri tersebut dari sudut perkhidmatan.

"Bagaimanapun, saya boleh katakan bahawa kenaikan ini tidak akan membebankan rakyat dan kami akan berunding dengan semua (kerajaan) negeri," katanya semasa menjadi tetamu jemputan bagi program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel, di sini pada Selasa malam.

Beliau berkata kementeriannya bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang berunding dengan beberapa kerajaan negeri untuk mendapatkan persetujuan semua pihak sebelum dilaksanakan.

"Kita telah mengemukakan business plan kepada mereka (kerajaan negeri). Sekarang kerajaan negeri berbincang antara mereka...ada tanda-tanda menunjukkan bahawa mereka (kerajaan negeri) setuju untuk menaikkan tarif air," katanya.

Kenaikan kadar tarif air masih belum ditetapkan kerana setiap negeri mempunyai kadar tarif yang berbeza, katanya. - Bernama

tarif air

Artikel Lain