suria

‘Berlakon’ sakit? Syed Saddiq kata, “Biarlah gambar berbicara”

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

PETALING JAYA: Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kecewa selepas difitnah berpura-pura 'sakit' ketika menghadiri Persidangan Agung Tahunan Bersatu 2018 pada Sabtu lalu.

"Cedera jatuh motor pun ada pihak nak politikkan. Biarlah gambar berbicara.

"Bagi mereka yang fitnah saya, saya doakan saudara saudari akan kembali ke jalan yang benar," katanya dalam satu posting di Twitter.

Syed Saddiq turut memuat naik bersama gambar lukanya di pipi dan dagu yang sedang dibersihkan.

Terdahulu, selepas kedudukan balutan di pipi Syed Saddiq dipertikaikan, kini gelagat Menteri Belia dan Sukan itu yang berjalan terhincut-hincut di hadapan lensa wartawan pula dipersoalkan.

Malah ada pihak yang menuduhnya berlakon di hadapan media.

Dalam video yang tersebar, ahli Parlimen Muar itu bersalaman dengan beberapa individu sebaik turun dari kereta dan dilihat berjalan secara normal.

Syed Saddiq dalam postingnya di Twitter menafikan beliau berpura-pura sakit.

Namun ketika media menghampirinya, Syed Saddiq dilihat tiba-tiba berjalan terhincut-hincut.

Gelagatnya itu menjadi perbualan hangat di media sosial terutama dalam kalangan penyokong pembangkang.

Pada malam Jumaat lalu, Syed Saddiq dilihat memakai balutan di pipi dan dagunya pada Perhimpunan Agung Bersatu 2018.

Ketika ditanya apa yang berlaku kepada dirinya, Syed Saddiq berkata dia jatuh dari motosikal.

"Saya jatuh daripada motosikal tiga hari lalu, saya harap saya akan pulih dalam tempoh satu atau dua minggu.

"Saya pergi melakukan pemeriksaan kedua di hospital hari ini (Jumaat) kerana hidung saya masih berdarah, saya akan mendapat laporan penuh pada Isnin selepas hospital melakukan imbasan penuh.

"Ia adalah cerita panjang tetapi yang paling penting adalah kita semua berada di sini dengan battle scars (parut pertempuran) masing-masing - sama ada secara mental atau fizikal," kata Syed Saddiq.

Syed Saddiq, Bersatu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain