suria

Suami maut, isteri dan anak OKU cedera ringan dalam kemalangan libatkan 4 kenderaan

Gambar hiasan

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan tiga kenderaan lain, di Jalan Kulai-Kota Tinggi, berdekatan tapak pelupusan sampah Seelong dekat Kulai, Isnin.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata kejadian berlaku kira-kira 7.40 pagi itu menyebabkan mangsa, Rahim Rauf, 46, yang memandu kereta jenis Proton Iswara meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.

"Kemalangan turut menyebabkan isteri Rahim yang berumur 38 tahun cedera di pergelangan tangan manakala anak lelakinya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) berusia dua tahun, cedera ringan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Tok berkata tiga kenderaan lain yang terbabit dalam kemalangan itu adalah kereta jenis Toyota Harrier dan Perodua Kancil serta lori jenis Hino.

Beliau berkata kemalangan disyaki berpunca daripada Toyota Harrier dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan yang dipercayai hilang kawalan lalu merempuh kenderaan Rahim.

Menurut Tok, pelanggaran itu menyebabkan kereta Rahim terbabas ke kiri jalan manakala Toyota Harrier tersebut berpusing dan melanggar Perodua Kancil dipandu seorang wanita serta lori dipandu seorang lelaki.

Katanya, bomba mengeluarkan mayat Rahim dari keretanya sebelum dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, untuk bedah siasat.

Kemalangan berkenaan disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. - Bernama

kemalangan maut

Artikel Sebelum

Artikel Lain