Larangan merokok berkuat kuasa 12 tengah malam ini - Semasa | mStar

Larangan merokok berkuat kuasa 12 tengah malam ini

KUALA LUMPUR: Semua premis makanan diwartakan sebagai tempat larangan merokok berkuat kuasa 12 tengah malam ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata larangan tersebut selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 bagi melindungi orang awam daripada terdedah kepada asap rokok.

Menurutnya Kementerian Kesihatan sentiasa komited bagi memastikan orang awam terutama kanak-kanak, wanita mengandung dan orang tua sentiasa dilindungi daripada bahaya asap rokok dan produk merokok yang lain.  

“Orang ramai adalah diminta untuk tidak merokok di semua tempat makan sama ada berhawa dingin dan tidak berhawa dingin. Ini termasuklah di dalam dan luar bangunan kawasan kedai makan, restoran dan medan selera.

“Larangan ini juga meliputi semua gerai makan dan kenderaan bergerak yang menyediakan kemudahan meja dan kerusi untuk makan dan minum serta semua restoran yang berada di atas kapal dan kereta api,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dr Noor Hisham turut menasihatkan semua pemilik dan pengusaha premis makanan supaya mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas dan mengambil langkah-langkah bagi memastikan tiada individu merokok dengan tidak menyediakan kemudahan seperti bekas abu rokok.  

Mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Bagi semua pemilik, pengusaha atau tuan punya permis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Sementara itu, bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga setahun. - Bernama

larangan merokok

Artikel Sebelum

Artikel Lain