suria

Harga minyak kekal minggu pertama 2019 - Guan Eng

Gambar hiasan

PETALING JAYA: Harga runcit minyak tidak akan berubah pada minggu pertama 2019, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata harga RON97, RON95 dan diesel masing-masing kekal pada harga RM2.50, RM2.20 dan RM2.18 seliter sehingga kerajaan menetapkan harga runcit baharu menjelang akhir minggu pertama Januari.

"Kabinet akan bertemu pada 2 Januari, ia akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menentukan harga runcit produk petroleum pada tahap optimum," kata beliau.

Guan Eng menambah bahawa walaupun Kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk membenarkan apungan harga minyak mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati perubahan selaras dengan harga petroleum dunia, ia tetap perlu mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.

Ia termasuk permintaan oleh Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia (PDAM), yang menentang mekanisme sistem apungan harga minyak.

"Dr Mahathir juga akan bertemu dengan PDAM tidak lama lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Lim berkata kerajaan Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan dasar menstabilkan harga runcit dan pada masa sama, melaksanakan harga tetap yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

"Ini bermakna apabila harga petroleum dunia turun, harga runcit akan diturunkan untuk memberi manfaat kepada pengguna.

"Bagaimanapun, jika harga naik, pengguna akan dilindungi kerana harga runcit akan kekal pada RM2.20 seliter untuk RON95 dan RM2.18 untuk diesel melalui subsidi yang diberikan," katanya.

Pengekalan harga akan diteruskan sehingga pelaksanaan subsidi RON95 dijalankan pada pertengahan 2019, iaitu sebelum harga runcit diapungkan berdasarkan harga pasaran. - The Star

harga minyak

Artikel Lain