suria

Maut ditikam selepas enggan teruskan hubungan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Indonesia maut dipercayai ditikam pada bahagian dada oleh rakan senegara di tempat letak kenderaan Masjid Al-Husna, Sungai Way, Selangor malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata pihaknya menerima panggilan mengenai mangsa, Asmaul Chasanah, 28, yang dibunuh seorang lelaki bersenjatakan pisau pada kira-kira 10.18 malam.

"Dalam kejadian itu, mangsa tiba di perkarangan masjid bersama rakannya untuk bertemu lelaki berkenaan yang datang dengan membawa pisau serta sebotol racun.

"Selepas menikam mangsa, lelaki itu kemudian menikam diri sendiri di bahagian perut dan meminum racun untuk membunuh diri namun gagal," katanya dalam kenyataan di sini Ahad.

Mohd Zani berkata bertindak atas maklumat, polis menahan lelaki itu di Wad Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) pada kira-kira 1.50 pagi tadi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu telah membelanjakan sejumlah wang kepada mangsa sejak dua bulan berkenalan.

"Namun sejak kebelakangan ini, lelaki berkenaan tidak mampu membelanjakan wang yang diminta menyebabkan mangsa enggan meneruskan hubungan sehingga mencetuskan kemarahan lelaki tersebut," katanya. - BERNAMA

maut, tikam

Artikel Lain