suria

Suhakam tunda Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa 2018 ke Ahad

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan menangguhkan sambutan Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa 2018 kepada Ahad.

Memetik laporan The Star, suruhanjaya itu memuat naik hantaran di Twitter pada Jumaat: "Sambutan #HumanRightsDay Suhakam akan diadakan pada 9 December 2018. Mari sertai kami dalam #StandingUpForHumanRights."

Terdahulu dilaporkan, sambutan Hari Hak Asasi Manusia yang dirancang berlangsung pada Sabtu di Padang Timur, Petaling Jaya untuk memperingati Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa 2018 akan ditangguhkan.

Menurut Bernama, pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Tan Sri Razali Ismail (gambar) berkata Polis Diraja Malaysia memaklumkan kepada suruhanjaya dan Pejabat Perdana Menteri tanpa menyatakan butiran terperinci bahawa terdapat risiko serius terhadap keselamatan negara yang berkemungkinan timbul daripada program itu.

“Suhakam kecewa kerana kerajaan yang komited kepada Hak Asasi Manusia seakan-akan terpengaruh dengan taktik tekanan dan ekstremisme sehingga terpaksa menangguhkan acara sambutan yang dirancang sejak beberapa bulan yang lepas.

“Kami memohon maaf kepada orang ramai, tetamu kami, peserta dan sukarelawan yang terlibat dalam acara ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat. - The Star/Bernama

Artikel Lain