suria

Sultan Ibrahim perkenan Pulau Kukup kekal sebagai taman negara Johor

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar telah menyampaikan perkenan baginda agar Pulau Kukup di Pontian, kekal sebagai Taman Negara Johor.

Hasrat baginda itu dinyatakan melalui sepucuk surat kepada Pengarah Tanah dan Galian Johor bertarikh 5 Disember 2018, yang dimuat naik melalui laman rasmi Facebook dan Twitter HRH Crown Prince of Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebentar tadi.

"Adalah dimaklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah berkenan supaya kedudukan Pulau Kukup, Pontian, yang telah diletakkan di bawah Enakmen Sultanate Land terus kekal digunakan sebagai kawasan Taman Negara Johor dan hendaklah dijaga dan dikawalselia oleh kerajaan negeri Johor di bawah Perbadanan Taman Negara Johor bagi menjadikannya sebuah produk pelancongan Negeri Johor Darul Ta'zim," menurut surat berkenaan.

Surat tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Sultan Johor, Jaba Mohd Noah.

Dua hari lepas, tular satu salinan surat warta kerajaan negeri dalam media sosial yang memberitahu pembatalan perizaban Taman Negara Pulau Kukup.

Menurut warta bertarikh 24 September lepas itu, pembatalan keseluruhan kawasan yang diisytihar sebagai kawasan Taman Negara Pulau Kukup berdasarkan kuasa diberi mengikut Subseksyen 3(3) Enakmen Perbadanan Taman Negara (Johor) 1989. - BERNAMA

Pulau Kukup, Sultan Ibrahim

Artikel Lain