suria

Pemaju nafi upah 'samseng' buat kecoh

PETALING JAYA: One city Developement Sdn Bhd menafikan sebarang penglibatan dalam mengupah 'samseng' yang memulakan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, baru-baru ini.

"Kakitangan di tempat kejadian diarahkan untuk memberi bantuan logistik dan membantu dalam penempatan semula yang teratur di bawah kawalan polis.

"Syarikat kami juga akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan kejadian itu," ujar anak syarikat MCT Bhd itu dalam satu kenyataan.

Pada Rabu pagi, barisan pengarah MCT Bhd turut memberi keterangan selepas berlangsungnya mesyuarat agung tahunan (AGM).

Syarikat itu yang kini dimiliki secara majoriti oleh konglomerat Filipina, Ayala Corporation menjadi perhatian selepas rusuhan di kuil berkenaan pada Isnin.

MCT yang tersenarai di Bursa Malaysia memiliki One City melalui MCT Consortium Bhd.

Menurut seorang pemegang saham yang menghadiri mesyuarat itu, isu mengenai kuil turut diutarakan dan mereka menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada pihak polis.

Sementara itu, firma guaman yang kini berkhidmat untuk One City menafikan bahawa mereka adalah pihak yang dimaksudkan oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Walaupun Skrine bekerja untuk pemaju dalam prosiding sivil yang melibakan pemilikan tanah kuil itu, kami bukanlah peguam yang dimaksudkan.

"Tiada peguam kami yang ditahan polis. Kami tak tahu apa-apa mengenai pengambilan samseng dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sedemikian," ujar Khoo Guan Huat, dari Skrine.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain