suria

Anggota bomba dalam video tular bukan Adib - KP

Mohamad Hamdan Wahid.

KUALA LUMPUR: Seorang anggota bomba yang dirakamkan sedang berdiri di belakang jentera bomba, ketika ia sedang berundur di lokasi kejadian di kuil Sri Maha Mariamman Seafield, menerusi video yang tular bukan Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata, lelaki di dalam video itu sebenarnya adalah rakan sekerja Muhammad Adib.

Beliau berkata, Mohd Hazim Mohd Rahimi, 31, pada asalnya menaiki jentera bomba di hadapan kenderaan kecemasan yang dinaiki Muhammad Adib.

Mohamad Hamdan mengulas mengenai dakwaan oleh jawatankuasa kuil bahawa Muhammad Adib dilanggar oleh sebuah jentera bomba yang berundur di tempat kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasukan petugas kuil dakwa Muhammad Adib dilanggar jentera bomba, bukan dipukul

Muhammad Adib mengalami kecederaan parah selepas dilaporkan ditarik keluar dari kenderaan yang dinaikinya dan dipukul orang ramai di tempat kejadian pada Isnin lalu.

Dia kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Jawatankuasa kuil mendakwa kejadian itu dirakamkan menerusi video yang tular.

Mohamad Hamdan berkata, jabatan itu akan membuat laporan polis terhadap dakwaan berkenaan.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di IJN pada Rabu, yang turut dihadiri Mohd Hazim.

Bercakap mengenai insiden, Mohd Hazim mengesahkan dia merupakan individu di dalam video yang tular.

Menyaksikan kekecohan yang berlaku, dia menaiki kenderaan kecemasan demi keselamatan.

"Keadaan ketika itu sangat huru-hara," katanya sambil menambah perusuh menerjah mereka dengan niat untuk menyerang. - The Star

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain