Sering dilabel ‘negeri kotor’, Kelantan laksana pemeriksaan lebih agresif - Semasa | mStar

Sering dilabel ‘negeri kotor’, Kelantan laksana pemeriksaan lebih agresif

Gambar hiasan.

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sentiasa melakukan pemeriksaan terhadap premis perniagaan makanan secara agresif bagi mengurangkan peningkatan penyakit bawaan akibat  penyediaan makanan yang tidak bersih.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata menerusi pemeriksaan itu, ia sekali gus akan dapat menghilangkan persepsi masyarakat luar terhadap Kelantan yang sering dilabel sebagai ‘negeri kotor'.

"Pemeriksaan di premis-premis makanan ini dilakukan mengikut jadual oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terutamanya ketika musim cuti sekolah kerana ramai pelancong akan mengunjungi Kelantan dan makan di restoran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar Taklimat Operasi Bersepadu Penutupan Premis Makanan di Kawasan Kota Bharu di Dewan Bunga Emas, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di sini pada Ahad.

Izani berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun atau menutup mana-mana premis perniagaan makanan yang kurang bersih.

"Kebersihan ini penting bagi menarik lebih ramai masyarakat luar datang untuk menikmati produk dari negeri ini sekali gus dapat meningkatkan hasil jualan kepada peniaga.

“Namun jika aspek kebersihan ini dipandang sebelah mata, ia bukan sahaja memberi kesan kepada tahap kesihatan di sesebuah populasi namun turut menyebabkan sektor pelancongan merudum di kawasan berkenaan,” katanya. - Bernama

pemeriksaan kebersihan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Luiz dedah punca pindah ke Arsenal