“Sedih! Setiap hari saya jumpa rakyat yang tak reti beratur” - Pengguna komuter lepas geram - Semasa | mStar

“Sedih! Setiap hari saya jumpa rakyat yang tak reti beratur” - Pengguna komuter lepas geram

Gambar hiasan ketika naik tren.Foto: SAMUEL ONG/The Star

PETALING JAYA: "Hari ni aku dah tak tahan sangat, aku jerit jer tengah-tengah alam mintak orang jangan tolak,” luah seorang pengguna perkhidmatan komuter KTM.

Pengguna berkenaan, Amalina Anuar, 23, berkata sikap segelintir pengguna komuter amat menyedihkan kerana ia membahayakan penumpang lain.

Bukan sekali, malah Amalina mendedahkan dia pernah hampir terjatuh kerana masing-masing berebut untuk masuk ke dalam komuter.

"Saya mula menjadi pengguna komuter sejak Julai tahun lalu. Apa jua situasi, walaupun kena tukar tren sebab rosak atau tidak menepati masanya, saya akan tetap memilih komuter untuk perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur setiap hari.

Amalina berkongsi gambar garisan yang telah disediakan oleh KTM untuk beratur.

"Setiap hari saya ambil tren pukul 5.10 petang  dari KL balik Seremban. Setiap hari jugalah saya jumpa rakyat yang tak reti beratur di garisan yang ditetapkan. Saya pun tak faham apa masalah masing-masing.

"Siap ada adegan tolak-menolak. Tahu tak itu merisikokan orang untuk jatuh. Tak fikir keselamatan orang lain ke?," Amalina meluahkan rasa kesalnya kepada mStar Online.

Amalina turut berkongsi rasa geramnya itu di laman Twitter dan postingnya itu tular.

Menurut Amalina, selain wujud geng ‘suka tolak’, mereka juga merupakan geng penyelit yang mahu memotong barisan.

Amalina memuatnaik status mengenai perangai pengguna KTM di laman Twitternya.

"Dia punya cilok nak menyelit tu. Gigih 'okeh'. Sampai nak jatuh. Punyalah berapa kali nak jatuh sebab 'spesis' cam ni pun tak tahu lah.

"Perkara yang sama setiap hari saya lalui. Kadang-kadang saya tak boleh fikir kenapa semua perangai seperti itu?.

"Sepatutnya beratur ikut garisan. KL Sentral sudah ada garisan cantik untuk pengguna beratur. Kalau semua ikut,  InshaAllah tak ada adegan tolak menolak.

"KTM sendiri kena mainkan peranan untuk buat kempen kesedaran. Kat atas tren banyak ruang  dinding yang boleh digunakan seperti letak poster kesedaran atau yang bersesuaian.

"Sebagai pengguna, kita sendiri kena ada kesedaran sivik. Jangan sebabkan kita pentingkan diri sendiri, kita bahayakan nyawa orang lain," ujarnya.

Tren , KTM , tolak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain