suria

Dr Wan Azizah sebak ucap selamat tinggal

Dr Wan Azizah mengesat air matanya ketika menyampaikan ucapan pada Kongres Nasional Keadilan.

SHAH ALAM: Suasana emosional amat ketara dirasai apabila presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengeluarkan kenyataan pembukaannya yang terakhir di Kongres Nasional Keadilan ke-13 parti itu.

Beliau menyeru anggota parti untuk berpegang kepada semangat 'reformasi'.

Merujuk kepada penubuhan parti tersebut di jalanan, Dr Wan Azizah juga memberi penghormatan kepada ahli parti dan pemimpin untuk pengorbanan mereka sepanjang berjuang selama 20 tahun.

"Idealisme dan agenda pembaharuan perlu dipegang dengan ketat, berterusan dan diperkuat," katanya pada perhimpunan yang berlangsung pada Sabtu.

Mengulas semula sejarah parti itu, Dr Wan Azizah berkata terdapat detik gemilang dan sukar dalam sejarah penubuhan PKR, seperti ketika pertama kali parti itu ditubuhkan pada 1998 dan memenangi hanya lima kerusi.

Ini diikuti dengan Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 yang mana PKR kehilangan empat daripada lima kerusi yang dimenanginya pada PRU 1999, sekali gus meninggalkan hanya Dr Wan Azizah sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh bagi parti itu.

Dr Wan Azizah mencium tangan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya berasa sangat sepi.

"Barisan Alternatif telah musnah, kita kalah dengan teruk dan hanya Permatang Pauh kekal menyelamatkan martabat parti," katanya sambil menambah ada beberapa individu yang tidak mempunyai kedudukan atau pangkat dalam parti yang datang ke Bukit Damansara untuk menunjukkan sokongan mereka dan berdoa.

Presiden yang akan keluar itu memberi amaran kepada ahli PKR bahawa ia adalah tidak mencukupi untuk bersama rakyat dengan hanya logo, bendera atau gambar, seperti dalam kempen sebelumnya.

"Selepas menang, parti kita perlu hadir (ketika diperlukan) dan terpahat dalam kesedaran serta merasakan denyut nadi rakyat.

"Saya telah berusaha sebaik mungkin dalam memimpin parti ini. (Jika ada) sebarang kesilapan, saya meminta kemaafan daripada anda.

"Hari ini, saya menyerahkan parti ini dalam kedudukan terkuat dalam sejarahnya yang diketuai oleh kepimpinan baharu," katanya. - The Star

Dr Wan Azizah, PKR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain