suria

Shafie Apdal kekal Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diisytiharkan sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie memutuskan pelantikan Shafie pada 12 Mei lalu oleh Yang di-Pertuan Negeri, Tun Juhar Mahiruddin adalah sah dibawah perlembagaan Sabah.

Yew menolak kesemua kes saman yang dipohon daripada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman terhadap Shafie yang mendakwa pemecatannya sebagai ketua menteri adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan negeri. 

Sementara itu, Bernama melaporkan Shafie berharap tiada lagi gangguan terhadap pentadbiran kerajaan baharu negeri Sabah untuk membangunkan dan membela rakyat.

Bercakap kepada pemberita selepas mahkamah membuat keputusan itu, Shafie berkata gangguan terhadap kelancaran pentadbiran kerajaan negeri boleh membantutkan pelbagai usaha pembangunan negeri, termasuk keyakinan pelabur.

“Hala tuju kami adalah untuk membangunkan Sabah dan membela rakyat. Ini yang penting. Saya berharap jangan ada lagi pihak-pihak tertentu mempunyai tanggapan berbagai sehingga dapat melambatkan (proses pentadbiran kerajaan negeri),” katanya.

Shafie, yang dijadual membentangkan Belanjawan Sarawak 2019 pada Jumaat (9 Nov) ini, berharap pihak pembangkang dapat memainkan peranan yang efektif dengan memberi teguran membina kepada kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah, Pakatan Harapan dan UPKO.

Berhubung keputusan hakim, beliau berharap semua pihak menerima keputusan mahkamah dengan baik dan memberi tumpuan terhadap pembangunan Sabah.

Sebaik keluar dari bangunan mahkamah, Shafie disambut ratusan penyokongnya, khususnya kalangan anggota Warisan, yang bersorak gembira atas keputusan mahkamah itu.

Shafie Apdal

Artikel Sebelum

Tong gas bertaburan atas jalan

Artikel Berikut

Artikel Lain