suria

Pemuda Umno tak setia, seperti kanibal serang Zahid - Nazri

Nazri Aziz

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Nazri Aziz menuduh Pemuda Umno tidak setia dan bertindak seperti kanibal apabila meminta  presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pergi bercuti berikutan tuduhan rasuah yang berterusan.

"Saya tidak faham Pemuda Umno, apabila presiden mereka dituduh di mahkamah, mereka cepat (menyerangnya). Sama seperti kanibalisme, makan satu sama lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen pada Rabu.

Nazri diminta memberi komen mengenai Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, yang pada 30 Oktober berulang meminta Dr Ahmad Zahid untuk mengambil cuti kerana tuduhan rasuah yang berterusan.

Asyraf membuat kenyataan itu di hadapan Dr Ahmad Zahid semasa ucapannya pada mesyuarat bulanan sayap parti Ahad lalu.

Nazri berkata, adalah penting bagi ahli Umno untuk terus bersatu dalam menghadapi cabaran.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu menegaskan bahawa ketika Pakatan Harapan menjadi pembangkang sebelum pilihan raya 9 Mei, ahli-ahlinya tetap setia kepada pemimpin mereka walaupun mereka menghadapi tuduhan rasuah dan juga dipenjara.

"Contohnya, Lim Guan Eng, sahabat baik saya, walaupun beliau menghadapi tuduhan dan perbicaraan mahkamah, ahli-ahlinya tidak memintanya untuk meletak jawatan atau mengambil cuti, beliau adalah Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP pada masa itu.

"Sama seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun beliau telah dipenjarakan, beliau masih pemimpin 'de facto' PKR. Ini adalah kesetiaan anggota parti seperti DAP dan Pakatan - tidak kira apa yang berlaku, mereka tetap setia kepada pemimpin mereka."

Dalam membela Dr Ahmad Zahid, Nazri berkata Ahli Parlimen Bagan Datoh itu tidak patut mengambil cuti kerana beliau bukan lagi penjawat awam.

"Beliau  memegang jawatan yang dipilih oleh delegasi kita, jadi jika mereka mahu beliau turun atau bercuti, maka kita mesti mendapat pendapat ahli dari peringkat akar umbi kita.

"Mungkin kita boleh memulakan gerakan di peringkat bahagian, usul khas yang meminta beliau untuk mengambil cuti ... Itulah yang saya fikir dan rasakan," katanya.

Artikel Lain