suria

Cadang guna khidmat pengamal perubatan tradisional - Saksi

Zulfarhan maut dipercayai akibat didera.

KUALA LUMPUR: Seorang saksi pada Jumaat memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliaulah individu yang mencadangkan kepada Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, tertuduh pertama dalam kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, supaya menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional sebagai ikhtiar mencari komputer ribanya yang hilang.

Bekas penuntut Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Mohd Syafiq Abdullah, 22, yang kini menjalani latihan ketenteraan di Kedah, berkata beliau mencadangkan perkara itu kepada Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, selepas diberitahu komputer riba miliknya (milik Muhammad Akmal Zuhairi) telah hilang dan tertuduh syak Zulfarhan Osman mencuri komputer riba itu.

Saksi pendakwaan ke-25 itu memberitahu mahkamah bahawa cadangan itu juga timbul kerana beliau mengetahui bahawa bapa kepada Muhamad Ashraf Abdullah, tertuduh ke-18 yang dituduh mencederakan Zulfarhan Osman, dikatakan mempunyai "kelebihan" mencari barang hilang.

“Ada orang cakap ayah Ashraf pandai cari barang, saya kata cubalah, jangan tuduh sebarangan, kalau-kalau ayah Ashraf dapat tolong. Saya yang suruh,” katanya sambil menambah beliau menyebut perkara itu ketika berjalan pulang ke asrama daripada perhimpunan malam bersama Muhammad Akmal Zuhairi dan Muhamad Ashraf.

Mohd Syafiq berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah pada prosiding perbicaraan hari ke-17 pada Jumaat.

Menurut Mohd Syafiq, sebaik tiba di asrama Muhamad Ashraf menghubungi bapanya sebelum tidak lama kemudian lelaki itu menghubunginya semula dan menyatakan kononnya ‘melihat' Zulfarhan Osman telah mencuri sebuah komputer riba namun tidak menyatakan milik siapa.

Dalam prosiding 16 Mei lepas, bapa Muhamad Ashraf, Abdullah Md Seh, yang merupakan saksi pendakwaan ke-13, memberitahu mahkamah bahawa beliau mendapat "petunjuk" menyatakan Zulfarhan Osman telah mencuri komputer riba dan petunjuk itu diperoleh melalui gerak hatinya serta melihat nama mangsa timbul di pandangan.

Terdahulu, Mohd Syafiq memberitahu pada 9.30 malam 20 Mei 2017, beliau menerima pesanan menerusi aplikasi Telegram dari Muhammad Akmal Zuhairi memberitahu komputer ribanya hilang dan mengesyaki Zulfarhan Osman mencurinya serta meminta saksi itu, yang merupakan rakan sebilik Zulfarhan Osman, membantu mencarinya di dalam bilik itu.

“Saya cari tapi tidak ada. Saya cari dekat loker Zulfarhan Osman dan sekitar bilik, tak jumpa. Saya beritahu Muhammad Akmal Zuhairi yang saya tak jumpa komputer riba itu, tetapi dia masih lagi syak yang arwah ambil komputer riba itu,” katanya.

Selain itu, Mohd Syafiq memberitahu beliau turut melihat beberapa rakannya termasuk Muhammad Akmal Zuhairi memukul, menumbuk serta menendang Zulfarhan Osman pada 1 pagi, 21 Mei 2017 bagi mendapatkan pengakuan salah Zulfarhan Osman namun mangsa tetap tidak mengaku mengambil komputer riba itu.

Kepada soalan Othman adakah saksi itu tahu kenapa Muhammad Akmal Zuhairi dan beberapa lagi rakan masih berterusan memukul Zulfarhan Osman walaupun mangsa memberitahu tidak mencuri komputer riba itu, Mohd Syafiq berkata ini kerana ia menjadi kebiasaan di UPNM.

“Di UPNM tu selalunya mereka ni (penuntut) kalau dapat kes curi macam ini mereka akan pukul dulu sampai orang yang kena pukul tu mengaku salah,” katanya sambil menambah sebelum ini kebanyakan pelajar baharu terpaksa berhadapan situasi itu.

Menjawab soalan Othman adakah saksi itu pernah melihat penuntut lain dipukul seumpama itu, Mohd Syafiq berkata tidak dan memberitahu dia hanya mendengar cerita mengenainya.

Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin, Mohamad Shobirin dan Abdoul Hakeem mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka, yang kesemuanya berusia 22 tahun, dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mang­sa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 12 November. - BERNAMA

Zulfarhan, UPNM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain