suria

Tiga lagi mayat dijumpai

Pasukan Bomba dan Penyelamat membawa keluar mayat ketujuh mangsa kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong kira-kira 4.30 petang Ahad. - Bernama

GEORGE TOWN: Operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong, di sini, yang masuk hari ketiga pada Ahad menemukan tiga lagi mayat mangsa runtuhan itu.

Ketiga-tiga mayat yang dijumpai pada Ahad ialah warga Bangladesh iaitu Mithu Hossain, 30, dan rakan sekampungnya Mustak Hossain, 25, serta Mohamad Abd Jalil, 31.  

Mayat Mithu dan Mustak dijumpai bertindih antara satu sama lain empat meter di bawah runtuhan tanah itu, manakala mayat Mohamad Abd Jalil ditemukan dalam keadaan ngeri di bawah timbunan tanah di kedalaman 10 meter.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua mayat insiden tanah runtuh dijumpai bertindan

Penemuan tiga mayat itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang ditemukan mati dalam kejadian  1.56 tengah hari Jumaat itu ialah tujuh orang terdiri daripada dua lelaki Indonesia; empat lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar.

Dua mayat ditemukan pada Jumaat iaitu mayat Attrul, 35, (Bangladesh) yang dijumpai pada pukul 3.30 petang dan Samsul Asman, 19, (Indonesia) pada pukul 5.08 petang, manakala dua lagi mayat ditemukan semalam iaitu wanita Myanmar Khin Aye Khaing,36, (1.30 pagi) dan rakyat Indonesia, Bahtiar, 36, (11.55 pagi).

Kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Jalan Bukit Kukus itu turut menyebabkan empat lagi mangsa cedera manakala tiga lagi masih hilang dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan itu.

Seorang daripada mangsa yang cedera iaitu Shamim, 24, dari Bangladesh dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi pada Ahad dan dilapor dalam keadaan kritikal. Lelaki itu mengalami kecederaan dalaman.  

Mereka yang dilapor masih hilang ialah lelaki Indonesia Subairi dan dua lelaki Bangladesh yang dikenali sebagai Ujal, 33, dan Rahat, 25.

Operasi mencari dan menyelamat ditangguh pukul 7 malam Ahad berikutan hujan lebat di kawasan runtuhan itu dan dijadual disambung semula 8 pagi esok.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Mohamad Shaoki Hamzah berkata  tumpuan operasi esok ialah mencari sebuah daripada 13 kontena yang dilapor menggelongsor bersama  runtuhan tanah dalam kejadian itu. - Bernama

Bukit Kukus, tanah runtuh

Artikel Lain