suria

Dua mayat insiden tanah runtuh dijumpai bertindan

Rakan mangsa dalam keadaan sedih apabila mengecam mayat rakannya di kawasan tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong pada hari ketiga, Ahad. - FOTO Bernama

GEORGE TOWN: Dua mayat mangsa kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di sini ditemukan dalam keadaan bertindan antara satu sama lain di bawah timbunan tanah.

Mayat dua pekerja asing yang juga rakan sekampung dari Bangladesh itu disahkan sebagai Mithu  Hossain, 30, dan Mustak Hossain, 25.  Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pulau Pinang Saadon Mokhtar berkata mayat Mithu  ditemukan pada pukul 12.13 tengah hari sebelum menemui mayat Mustak lima minit kemudian.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa tarik sendiri jasad anak keluar dari tanah

“Kedua-dua mayat itu ditemui di kawasan sektor kedua. Mayat ditemukan bertindan di bawah timbunan tanah runtuh sedalam empat meter. Identiti mangsa disahkan rakan mereka di lokasi kejadian.

"Mayat mereka ditemukan dalam keadaan sempurna. Mangsa dipercayai telah keluar dari kontena dan cuba menyelamatkan diri namun tidak sempat sebelum tertimbus dalam tanah runtuh," katanya di tempat kejadian di sini pada Ahad.

Mayat keenam, Mustak Hossain, warga Bangladesh dibawa keluar dari kawasan tanah runtuh.

Saadon juga tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu berbanding jumlah sebenar yang direkodkan berikutan mayat keenam yang dijumpai pada Ahad iaitu Mustak tiada dalam rekod pencarian operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak kejadian Jumaat lepas.

Beliau berkata operasi SAR bertumpu di sektor dua dan tiga kerana pihaknya percaya baki mangsa iaitu sekurang-kurangnya empat orang yang dalam rekod pasukan penyelamat, tertimbus di kawasan itu.

Katanya unit anjing pengesan (K-9) bomba juga berjaya mengenal pasti beberapa kawasan di dua sektor berkenaan dan usaha mengesan mangsa giat dijalankan.

"Kami akan mengalihkan tanah di dua sektor itu menggunakan jengkaut sebelum anjing K-9 dibawa ke kawasan berkenaan bagi membuat pengesanan semula," katanya.

Beliau berkata operasi SAR juga akan diteruskan tanpa henti sehingga semua mayat ditemui, bagaimanapun ia bergantung kepada keadaan cuaca dan sumber pencahayaan. - Bernama

Bukit Kukus, tanah runtuh

Artikel Lain