suria

Najib beri keterangan lebih enam jam kepada SPRM

PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  dipercayai memberi  keterangan  lebih enam jam di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa setelah dipanggil lagi oleh suruhanjaya itu berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut sumber SPRM, Najib hadir ke ibu pejabat SPRM di sini kira-kira 10 pagi  bagi  membantu  siasatan tersebut dan keluar kira-kira 4.30 petang.

Bagaimanapun, pihak media yang telah menunggu sejak pukul 9 pagi gagal merakamkan kelibat Najib selepas difahamkan beliau masuk dan keluar melalui pintu belakang.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib dipanggil SPRM lagi hari ini

Lebih 20 pengamal media sebaliknya berkumpul di kawasan pintu pagar utama SPRM, yang kebiasaannya merupakan laluan keluar masuk ke suruhanjaya itu.

Najib sebelum ini telah beberapa kali dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan SPRM.

Pengamal media menunggu di luar ibu pejabat SPRM di sini pada Selasa.

Pada 3 Okt lepas, Najib memberi keterangan hampir tiga jam di Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di sini.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman sebelum ini dilaporkan akan memanggil semula Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berikutan pihak berkuasa memerlukan maklumat tambahan daripada pasangan terbabit untuk membantu siasatan.

Najib sebelum ini telah didakwa di mahkamah atas 32 pertuduhan.

Pada 4 Julai lepas beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Seterusnya pada 8 Ogos, bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lepas.

Pada 20 Sept, Najib sekali lagi didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001 dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM. - Bernama

Najib Razak

Artikel Lain