suria

Isu operasi cegah khalwat:Jawi sedia nilai, semak SOP

PETALING JAYA: Susulan kenyataan kontroversi berkaitan isu operasi cegah khalwat yang dikeluarkan Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa, Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) tampil menjelaskan pentingnya aspek pencegahan.

Sehubungan itu, Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail berkata, aspek pencegahan sentiasa mendapat perhatian pihaknya.

Katanya, langkah pencegahan juga bertujuan memberi maklumat kepada umat Islam supaya tidak melakukan kesalahan terlarang dalam undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

Menurut Mohd Ajib, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini dipercayai telah disalah tafsir pihak media.

"Dalam membicarakan ruang lingkup penguatkuasaan jenayah syariah, kenyataaan Mujahid dipercayai telah disalahtafsirkan beberapa akhbar tempatan semalam (Sabtu).

"Jawi sebagai agensi yang menjalankan aktiviti penguatkuasaan yang diperuntukkan undang-undang telah melaksanakannya dengan penuh berhati-hati dan cermat mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard) yang telah ditetapkan," menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Bagaimanapun, Jawi sedia menilai dan menyemak semula SOP tersebut dari masa ke semasa sekiranya terdapat kelompangan.Sebelum ini, laporan The Star memetik Mujahid sebagai berkata tiada lagi ketukan pintu di waktu tengah malam oleh pihak berkuasa agama yang menyiasat laporan khalwat atau salah laku lain.

Bagaimanapun, kenyataan terkini yang dikeluarkan oleh menteri tersebut menafikan laporan yang menggambarkan bahawa beliau seolah-olah membenarkan perbuatan maksiat dan khalwat.

Mujahid menegaskan, kenyataannya telah disalah tafsir malah beliau menjelaskan bahawa konsep nahi mungkar tidak hanya dilaksanakan dalam bentuk penguatkuasaan semata-mata sebaliknya, menekankan pendekatan dakwah dan pendidikan keluarga sebagai salah satu bentuk tindak balas hidup masyarakat.

Jawi

Artikel Lain