suria

Umno menuju kejatuhan selepas berpecah-belah - Tun M

NEW YORK: Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan parti UMNO, sebagai tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN) yang tewas pada Pilihan Raya Umum Mei lepas, akan berhadapan satu kejatuhan.

Berucap pada satu majlis di sini, Rabu, Perdana Menteri Malaysia itu berkata ramai anggota parti  berkenaan mengambil keputusan meninggalkan UMNO kerana mereka kini tidak lagi rasa takut kepada bekas presiden parti, yang juga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“UMNO kini berpecah-belah, ia hanya menuju kejatuhan. Tiada lagi masa hadapan untuk UMNO kerana orang ramai secara menyeluruh bencikan UMNO,” katanya pada mesyuarat dengan anggota Majlis Mengenai Hubungan Luar Amerika Syarikat.

Dr Mahathir berkata, Najib telah melemahkan kepimpinan dan malahan kedudukan dan rekod parti kerana pengaruh wang.

Jentera pentadbiran juga menjadi lemah, katanya.

"Beliau menggunakan jentera pentadbiran untuk partinya, berkempen untuk partinya. Itu sepatutnya tidak dilakukan oleh mereka. Sudah semestinya mereka patut menerima arahan daripada kerajaan yang dipilih tetapi bukan untuk berkempen untuk parti. Itu bukan tugas mereka.

"Dan sekarang ini saya pula menghadapi masalah untuk mengeluarkan mereka ini, yang masih setia kepadanya,” kata Dr Mahathir.

Menjawab satu soalan, Dr Mahathir berkata, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR, akan menggantikan beliau selepas satu tempoh masa seperti janji yang dipersetujui apabila membentuk gabungan Pakatan Harapan.

"Orang ramai mulai dapat menyesuaikan diri dengan idea bahawa Perdana Menteri juga perlu diubah. Saya berada di sana selama 22 tahun (sebagai Perdana Menteri) sehinggakan orang ramai berfikiran ia tidak akan berubah.

"Tetapi kini mereka melihat beberapa Perdana Menteri telah berubah, jadi jika beliau mengambilalih, ia hanyalah satu perubahan,” kata Dr Mahathir dan menambah bahawa menyerahkan jawatan kepada Anwar selepas dua tahun memegang jawatan Perdana Menteri adalah juga janji beliau. - Bernama


Mahathir Mohamad

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain