suria

Peniaga rugi RM28,980 gara-gara jual sepasang baju kurung

KUANTAN: Rezeki yang diharap,  namun 'bala' pula yang menimpa dan itulah yang berlaku kepada seorang peniaga wanita setelah mengalami kerugian sebanyak RM28,980 selepas menjual sepasang baju kurung bernilai RM120 dalam sebuah laman sesawang jual beli terkenal Selasa lalu.

Dalam kejadian 4.45 petang itu mangsa, 21, yang tinggal di Kampung Cenderawasih di sini telah memuat naik iklan untuk menjual sepasang baju kurung berkenaan sebelum menerima ulasan daripada suspek yang menyatakan minat untuk membeli baju kurung berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Supritendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa kemudian telah memberikan nombor akaun bank kepada suspek untuk urusan pembayaran.

"Bagaimanapun selepas mendakwa telah membuat pembayaran, suspek telah meminta mangsa untuk membuat pelbagai bayaran bagi mendapatkan wang sebanyak RM120 kerana pembeli itu kononnya berada di luar negara.

"Mangsa kemudian telah membuat lima kali transaksi melibatkan pembayaran berjumlah RM28,980 ke akaun yang diberikan," katanya dalam kenyataan kepada media di sini pada Khamis.

Pengadu kemudian tidak berpuas hati dan merasakan dirinya telah ditipu selepas wang bayaran yang dijanjikan tidak dimasukkan ke dalam akaunnya.

Dia kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Rabu.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. - Bernama

online, baju kurung

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain