suria

Penyokong Najib berkumpul di bangunan SPRM tanda solidariti

Presiden Pemantau Malaysia Baru Datuk Lokman Noor Adam bersama para penyokongnya melaungkan slogan 'Hidup Najib' semasa perhimpunan solidariti4Najib di Bangunan SPRM, Rabu malam. FOTO: Bernama

PUTRAJAYA: Kira-kira 50 orang penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak berkumpul di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, Rabu malam, sebagai menandakan solidariti bersama bekas perdana menteri itu.

Kumpulan yang diketuai Presiden Pemantau Malaysia Baru Datuk Lokman Noor Adam itu yang turut disertai penyanyi veteran Sahara Yaacob, tiba pada 9 malam bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap penahanan Najib oleh SPRM.

Lokman Noor mengecam kenyataan rasmi SPRM yang menyatakan penahanan Najib itu dibuat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

"Yang menghairankan kami, kenyataan Peguam Negara (Tommy Thomas) menyatakan bahawa sehingga kini beliau tidak boleh mengambil sebarang tindakan berhubung kes terbabit kerana kertas siasatan masih belum diterima," katanya.

Kumpulan itu turut mempersoalkan tindakan SPRM menahan Najib pada waktu petang sehingga kumpulan peguamnya tidak mempunyai cukup masa untuk mengeluarkan bekas perdana menteri itu daripada tahanan.

Perdana Menteri keenam itu ditahan pada 4.13 petang tadi di Ibu Pejabat SPRM, di sini, ketika hadir memberi keterangan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi beliau.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata Najib akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pukul 3 petang Khamis.

Najib sebelum ini telah didakwa di mahkamah atas tujuh pertuduhan.

Pada 4 Julai lepas beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Seterusnya pada 8 Ogos, bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lepas.
-- BERNAMA

Najib Razak, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain