suria

Hishammuddin jumpa Tun M di Putrajaya

PETALING JAYA: Bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya pada Selasa, lapor Utusan Online.

Namun katanya, pertemuan itu sekadar untuk mendengar rancangan masa depan Dr Mahathir untuk negara ini.

Susulan pertemuan itu, timbul desas-desus kononnya dia juga bakal keluar dari Umno.

"Tiada benda lain yang dibincangkan. Tiada sebab untuk saya meninggalkan Umno sekarang.

"Tetapi pada saya, kepimpinan Umno perlu tunjuk hala tuju yang jelas kepada semua ahli parti bagi mengelak lebih ramai yang keluar selepas ini.

"Jangan percaya spekulasi, saya tak ada apa-apa sebab untuk keluar Umno," jelas Hishammuddinn kepada Bernama pada Rabu.

Menerusi posting Facebook, penasihat media Dr Mahathir, Datuk A. Kadir Jasin turut memberi bayangan mengenai pertemuan itu.

"Assalamualaikum Datuk Seri Hishammuddin, nak tanya, semalam pergi Putrajaya jumpa siapa?" tulisnya.

Sementara itu, 17 nama pemimpin Umno yang dikatakan bakal keluar parti mula tersebar di media sosial.

Antara yang tersenarai, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman yang sudah sah keluar Umno pada Selasa dan Rabu.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz turut tersenarai.

Namun, dia menafikan dakwaan itu dan berkata tidak akan meninggalkan Umno.

"Ia tidak adil untuk fikir pasal saya sahaja dan keluar Umno.

"Saya tak boleh abaikan ahli Umno dan pengundi saya," ujar Nazri pada Rabu.

Tambahnya, dia faham kenapa Mustapa dan Anifah meninggalkan parti dan menyatakan dua pemimpin itu tidak gembira dengan keputusan Umno untuk bekerjasama dengan PAS.

"Tok Pa (Mustapa) sudah 40 tahun dalam politik, dia sentiasa menentang PAS,

"Anifah dari Sabah, ia tidak menyenangkan apabila Umno bekerjasama dengan PAS kerana orang di sana liberal.

"Saya rasa mereka berdua tidak gembira dengan hala tuju dan kepimpinan parti," katanya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain