suria

Penerbangan ke Sarawak akan ditingkatkan untuk tawar tiket lebih murah

KUCHING: Kementerian Pengangkutan mempertimbangkan untuk meningkatkan jumlah penerbangan antara semenanjung dan Sarawak semasa musim perayaan agar lebih ramai rakyat negeri itu dapat pulang ke kampung halaman mereka.

Menterinya, Anthony Loke berkata, adalah lebih berkesan untuk memastikan purata harga tambang yang rendah, berbanding dengan memperkenalkan harga siling.

Beliau berkata, beliau telah membincangkan perkara itu dengan beberapa syarikat penerbangan selepas menerima aduan daripada rakyat Sarawak tentang kadar tambang tinggi semasa musim perayaan.

"Kami melakukan kajian sama ada untuk mengenakan harga siling semasa musim perayaan, tetapi kami mengambil kira implikasi negatif untuk melakukannya.

"Sekiranya harga siling dikenakan, ia akan menyebabkan purata tambang penerbangan naik semasa musim bukan perayaan.

"Jadi dalam tempoh satu tahun akan datang kita akan cuba pendekatan yang berbeza, iaitu meningkatkan jumlah penerbangan semasa musim perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya dan Gawai.

"Kami berharap ini akan mengurangkan tambang udara dari semenanjung ke Sarawak.

"Saya akan memastikan setiap syarikat penerbangan, sama ada Malaysia Airlines, AirAsia atau Malindo untul meningkatkan kekerapan penerbangan mereka semasa musim perayaan," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini pada Jumaat.

Loke juga berkata kementeriannya sedang mengkaji kemungkinan mengadakan penerbangan antarabangsa dari Sarawak ke destinasi seperti Jakarta dan Australia.

Beliau bersetuju bahawa lebih banyak penerbangan antarabangsa terus (direct flight) akan meningkatkan pelancongan di Sarawak termasuk pelancongan perubatan.

"Dalam istilah geografi, harus ada penerbangan langsung dari Kuching ke Jakarta, yang mana lebih dekat berbanding terbang ke Kuala Lumpur, dan juga beberapa destinasi di Australia.

"Saya akan membincangkannya dengan syarikat penerbangan untuk melihat sama ada mereka boleh melaksanakan perkhidmatan ini," katanya. - The Star

tiket penerbangan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bunuh kucing: Dua lelaki ditahan

Artikel Lain