suria

Sumbang mahram budak 10 tahun, tukang cuci ditahan

JOHOR BAHRU: Perbuatan keji seorang tukang cuci ke atas anak saudaranya berusia 10 tahun terbongkar apabila lelaki berkenaan dicekup polis dalam satu serbuan di sebuah hotel di Taman Ungku Tun Aminah, di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, tingkah laku suspek berusia 40 tahun itu dikesan pihaknya hasil maklumat orang awam yang curiga ketika lelaki berkenaan memasuki hotel dengan kanak-kanak terbabit.

“Kira-kira jam 9.20 pagi, sepasukan polis telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk meninjau hasil maklumat disalurkan orang awam. Sejurus tiba, anggota bertindak mengetuk pintu bilik hotel terbabit sebelum pintu dibuka oleh lelaki berkenaan lima minit selepas itu.

“Polis melihat keadaan lelaki dan kanak-kanak itu hanya memakai tuala tanpa baju atau separuh bogel. Lelaki tersebut kemudian terus ditahan dan di bawa ke Balai Polis Taman Unku Tun Aminah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, Jumaat.

Mohd Taib berkata, makluman lisan yang diperoleh daripada mangsa mendapati suspek kerap membawanya keluar dan kejadian seperti itu adalah kali kedua berlaku.

“Mangsa memberitahu ibu bapanya tahu dia keluar dengan suspek pada hari itu. Malah dia juga menjelaskan yang lelaki berkenaan adalah bapa saudaranya.

“Suspek juga menjelaskan yang dia turut mendapat kebenaran ibu bapa mangsa untuk membawanya keluar,” katanya.

Jelasnya, daripada keadaan ketika tangkapan dilakukan, polis akan menjalankan siasatan terperinci untuk memastikan mangsa tidak dianiaya dan terlibat dengan gejala tidak bermoral seperti itu.

Suspek kini dipohon perintah reman bermula hari ini mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan kerana disyaki terlibat sumbang mahram.

Suspek dilaporkan sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak berusia dalam lingkungan 25 hingga 28 tahun.-SinarHarian
 

Artikel Lain