suria

Jurukimpal didakwa lakukan serangan seksual, cuba rogol anak saudara 8 tahun

ALOR SETAR: Seorang jurukimpal berusia 48 tahun dari Pokok Sena dihadapkan ke mahkamah di atas tiga pertuduhan, iaitu dua serangan seksual dan satu cubaan rogol ke atas kanak-kanak berusia lapan tahun.

Suspek bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas semua pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini.

Di Mahkamah Seksyen 4, tertuduh dari Kampung Bukit Larek, Pokok Sena, didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan, kerana cuba merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada kira-kira pukul 3 petang pada 16 Jun lalu.

Mangsa merupakan anak saudara suspek.

Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Rehab Abdul Shukur meminta mahkamah agar tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh.

Katanya, ia merupakan satu kes yang sangat serius, sambil menekankan bahawa tertuduh mempunyai hubungan keluarga dengan mangsa berusia lapan tahun.

Rehab memberitahu mahkamah bahawa tertuduh mempunyai rekod jenayah rogol sebelum ini dan dihukum penjara 16 tahun tetapi hanya menjalani hukuman selama 10 tahun.

Beliau juga memberitahu hakim bahawa tertuduh akan menghadapi dua lagi tuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017, dan beliau akan memohon kes-kes yang akan didengari bersama di Mahkamah Sesyen Alor Setar 2.

Hakim Juraidah Abbas menetapkan 7 Oktober 2018 untuk sebutan kes, termasuk penyerahan dokumen mahkamah.

Di Mahkamah Sesyen 2, tertuduh di hadapan Hakim Azman Abu Hassan, berdepan dengan dua lagi tuduhan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017.

Pada 17 Jun tahun ini pada kira-kira pukul 2 petang, tertuduh dikatakan telah melakukan serangan seksual dengan seorang kanak-kanak dengan melakukan oral dan menyentuh bahagian sulit mangsa.

Suspek turut didakwa menyentuh bahagian sulit mangsa pada 18 Jun lalu, kira-kira pukul 5 petang pada tahun yang sama dan di rumah yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta yang sama dan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Hakim Azman menetapkan 7 Oktober untuk sebutan dan penyerahan laporan perubatan dan permohonan untuk pendakwaan terhadap tertuduh bagi pendengaran kes.