suria

Gaji minimum cuma naik RM50, KJ luah rasa kecewa

PETALING JAYA: Pengumuman kenaikan gaji minimum sebanyak RM50 daripada RM1,000 sejak ia diperkenalkan pada 2016 mencetuskan kontroversi dalam kalangan netizen yang rata-rata beranggapan ia tidak berpadanan.

Kekecewaan terhadap pengumuman itu turut diluahkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin melalui laman Twitter miliknya.

Beliau mengakui bahawa kerajaan perlu mengimbangi kepentingan majikan dan pekerja dalam menangani isu tersebut.

"Kalau paras (gaji minimum) terlalu tinggi, boleh menjejaskan kedudukan majikan. Kalau terlalu rendah, nasib pekerja tidak dijaga.

"Namun, pengumuman kerajaan bahawa gaji minimum terbaru adalah RM1,050 berbanding RM1,000 mengecewakan," tulis ahli Parlimen Rembau itu pada pagi Khamis.

Jelas Khairy yang lebih mesra disapa KJ, Perintah Gaji Minimum 2016 diperkenalkan ketika dibawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang diterajui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang merupakan Ketua Pemuda Umno pada ketika itu turut memperjuangkan gaji minimum sehingga ia dilaksanakan.

Menurut KJ, isu gaji minimum adalah sangat rumit kerana ia melibatkan majikan dan pekerja.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan agar paras gaji minimum yang sesuai adalah sebanyak RM1,200.

"Saya rasa RM1,200 paras yang sesuai dan realistik untuk kenaikan pertama dibawah kerajaan PH (Pakatan Harapan).

"Namun, kerajaan dilihat telah tunduk kepada kehendak majikan dan tidak memihak kepada pekerja," ujarnya.

Pada Rabu, The Star melaporkan bahawa kerajaan menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam akan mula dilaksanakan pada tahun depan.

Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2019, ia dilaksanakan selepas dicadangkan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN).

Cadangan tersebut dibuat selepas Perintah Gaji Minimum 2016 diteliti oleh majlis berkenaan.

Khairy Jamaluddin, gaji minimum

Artikel Berikut

Musa Aman tampil di SPRM Putrajaya

Artikel Lain