"Kerajaan sudah bincang, sebat dua wanita tak cerminkan keadilan, timbang rasa oleh Islam" - Tun M - Semasa | mStar

"Kerajaan sudah bincang, sebat dua wanita tak cerminkan keadilan, timbang rasa oleh Islam" - Tun M

Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Kabinet berpendapat bahawa hukuman sebatan dua pesalah wanita seperti yang berlaku di Terengganu baru-baru ini tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh agama Islam.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pendirian Kabinet mengenai kes dua wanita yang dihukum sebat kerana cuba melakukan hubungan sejenis telah dibincangkan oleh kerajaan pada Rabu.

“Sebaliknya kita tahu bahawa ini adalah kes pertama bagi mereka dan biasanya dalam kes pertama kita perlu memberi nasihat dan tidak seterusnya melakukan (hukuman) sebat sehingga diketahui oleh seluruh negara. Ini memberi gambaran yang buruk kepada agama Islam.

“Sebab itu kami berpendapat bahawa, kalaupun ada kes-kes yang semacam ini, pertimbangan hendaklah diberi kepada keadaan tertentu, yang mana dalam Islam kita boleh menjatuhkan hukum yang lebih ringan sementara kita memberi nasihat dan sebagainya,” katanya menerusi sebuah video berdurasi dua minit dan 30 saat di halaman Facebooknya, pagi Khamis.

Dr Mahathir berkata, adalah penting untuk menunjukkan Islam sebagai agama yang ‘bukan bengis’ yang suka menjatuhkan hukum-hukum berat sehingga mengaibkan seseorang. 

Perdana menteri menambah, tindakan seumpama itu bukan cara-cara yang digalakkan oleh agama Islam. 

“Ini adalah pendapat kabinet Kerajaan dan kami harap kita berhati-hati dalam mempamerkan Islam sebagai agama yang tidak ada tolak ansur, tidak ada bertimbang rasa. 

“Sedangkan kita selalu, apabila bermula (memulakan) sesuatu dengan ‘Bismillahirrahmanirrahim’, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani tetapi kita tunjuk seolah-seolah dalam Islam ini tidak ada perasaan pemurah sama sekali,” katanya.

Isnin lalu, dua wanita menjalani hukuman enam kali sebatan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu setelah didapati bersalah cuba melakukan hubungan sejenis dalam sebuah kereta pada April lalu.

Dilaporkan, hukuman itu yang dijalankan di bilik mahkamah adalah yang pertama kali berlaku di negara ini membabitkan kesalahan seumpamanya dan disaksikan oleh lebih 100 orang termasuk pengamal media, keluarga dan peguam syarie.

Tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku, malah ketika rotan hinggap di tubuh badan tertuduh, tiada jeritan kedengaran kerana pegawai penjara itu masih perlu mengikut peraturan yang ditetapkan iaitu menggunakan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala tertuduh.

Tertuduh pertama berusia 32 tahun itu dilihat mengalirkan air mata selepas hukuman rotan enam kali itu selesai tetapi tertuduh kedua (22 tahun) sebak seketika apabila menerima sebatan ketiga dan terpaksa dihentikan seketika sebelum menyambung tiga sebatan seterusnya.

Selain itu kedua-duanya turut didenda RM3,300 atau empat bulan penjara, jika gagal menjelaskan denda.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.

Kedua-dua tertuduh diberi peluang untuk membuat rayuan ke atas hukuman sebat itu dalam tempoh 14 hari namun tidak berbuat demikian sehinggalah tempoh tamat.

sebat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Daim dedah Jho Low pernah cuba hubunginya

Artikel Berkaitan

Artikel Lain