suria

“Nanti mak dah ‘pergi’, tengok-tengoklah rumah”

Nawawi (duduk, depan) bersama kakitangan TH menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada Siti Zaleha (empat, kiri) dan keluarga.

KUALA KETIL: "Nanti mak dah pi, hangpa te­ngok-tengoklah rumah,".

Demikian antara ungkapan yang sering diucapkan seorang jemaah haji kepada ahli keluarganya sebelum meninggal dunia di Makkah.

Anak, Siti Zaleha Abdul Hamid, 42, berkata, ibunya, Allahyarham Siti Hajar Harun, 69, sering menyebut ungkapan berkenaan kepada ahli keluarga sebelum berlepas ke tanah suci pada 8 Ogos lalu.

"Kita ingat bila dia kata macam itu perkara biasa. Tambahan pula, mak begitu semangat nak tunaikan haji," kata anak kedua daripada tiga beradik itu ketika ditemui di Kampung Sungai Seluang, Kulim pada Rabu.

Tambahnya, secara kebetulan, arwah meninggal dunia pada Rabu iaitu hari sama ketika ibunya berangkat ke tanah suci.

Menceritakan kembali detik-detik dimaklumkan berita sedih itu, Siti Zaleha berkata, dia menerima panggilan daripada ibu saudaranya, Azizah Harun pada pagi Aidiladha.

"Arwah mak pergi haji dengan ayah (Abd Hamid Mat Noh) dan mak menakan (Azizah).

"Panggilan pertama saya tak sempat jawab sebab tengah solat. Bila selesai solat baru dapat info kematian.

"Tetapi mulanya saya sangkakan ayah sebab dia yang uzur. Dua kali juga saya tanya mak menakan betul ka mak yang meninggal," katanya.

Bagaimanapun katanya, dia sekeluarga menerima ketentuan itu dengan hati terbuka.

"Meninggal dunia di sana perkara terbaik, semua orang minta untuk meninggal dunia di Makkah atau Madinah. Kami sekeluarga reda," katanya.

Terdahulu, pihak Tabung Haji tampil menziarahi keluarga arwah serta menyampaikan sumbangan wang khairat kematian, kurma dan air zam-zam.

Pengarah Lembaga TH Negeri Kedah, Nawawi Ishak berkata, tujuh jemaah dari Kedah dilaporkan meninggal dunia ketika menunaikan ibadah haji tahun ini.

Menurutnya, kematian jemaah sering berpunca daripada serangan jantung dan jangkitan kuman pada paru-paru.

"Arwah meninggal dunia akibat sakit jantung," katanya.

Beliau berkata, kemuncak paling ramai jemaah meninggal dunia ialah selepas mengerjakan ibadah wukuf.

"Ia berkemungkinan beberapa faktor antaranya cuaca yang panas. Arwah juga meninggal dunia pada 11 Zulhijjah iaitu selepas selesai kerjakan wukuf," katanya.

Beliau berkata, bakal-bakal haji dinasihati bersedia dalam aspek kesihatan dan ilmu.

Hadir sama, Pengurus TH Kulim, Zurita Khidzir. - Sinar Harian

Artikel Lain