suria

LaVida Coin bukan skim cepat kaya

PETALING JAYA: Usahawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menyangkal dakwaan bahawa Lavida Coin (LVC) yang diperkenalkannya baru-baru ini sebagai skim cepat kaya atau skim pelaburan.

Sebaliknya Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV) menjelaskan  LVC adalah urusniaga mata wang krypto yang diwujudkan berdasarkan pengalaman beliau mendapat pulangan yang baik daripada urusniaga tersebut.

“Saya komited memastikan LVC mematuhi segala peruntukan yang digariskan oleh pihak berkuasa dan diurus berdasarkan tadbir urus yang baik bagi memastikan ketelusan.

“Saya akan memberi kerjasama sepenuhnya dan memastikan LVC mendapatkan nasihat dan panduan daripada pihak berkuasa bagi memastikan segala keperluan dari sudut undang-undang dan peraturan dipatuhi bagi memastikan kepentingan semua pihak tidak diabaikan,” katanya dalam satu kenyataan kepada mStar Online, Sabtu.

Jelas Vida lagi, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam masa terdekat.

“Ini bagi memastikan urusniaga LVC menepati kehendak pihak berkuasa dan kepentingan mereka yang terlibat dilindungi,” katanya.

Tambah pengasas produk kecantikan Qu Puteh itu, beliau meminta mana-mana pihak untuk tidak membuat kenyataan yang mendahului pihak berkuasa berkaitan status LVC.

“Saya minta orang ramai supaya memberi kepercayaan kepada pihak LVC untuk mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa bagi menyelesaikan segala isu yang dilaporkan,” katanya.

Terdahulu, Vida memberitahu mStar Online bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan SC pada minggu depan.

BNM sebelum ini menyenaraikan LVC di bawah Amaran Pengguna Kewangan.

Malah laman web LVC juga tidak diluluskan mengikut undang-undang yang termaktub dalam pentadbiran BNM.

SC sebelum ini memaklumkan bahawa pihaknya sedang melakukan pemantauan teliti terhadap maklumat sedia ada mengenai LVC bagi menentukan sama ada ia melanggar undang-undang sekuriti.

LaVida Coin

Artikel Lain