suria

Hentikan spekulasi! Tunggu saya jumpa SC - Vida

PETALING JAYA: Usahawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV) menggesa orang ramai supaya menghentikan sebarang spekulasi berkaitan Lavida Coin yang diperkenalkannya baru-baru ini.

Vida turut meminta orang ramai supaya tidak panik kerana beliau akan menjelaskan perkara itu selepas mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam masa terdekat.

"Saya minta semua bertenang, jangan buat andaian apa-apa sehingga saya bertemu dengan SC.

"Mereka (SC) ada berhubung dengan saya. InsyaAllah saya akan bertemu dengan mereka sekembalinya dari urusan di luar negara dalam masa terdekat," katanya kepada mStar Online.

Menurut usahawan kelahiran Machang, Kelantan itu, beliau bersedia memberi kerjasama terhadap apa-apa maklumat berkaitan Lavida Coin yang diperlukan suruhanjaya itu.

"Kita akan memberikan apa sahaja maklumat yang diperlukan SC, tiada masalah," katanya.

Meskipun Bank Negara Malaysia (BNM) menyenaraikan pengendali terbitan mata wang kripto Lavida Coin, VI Profit Galaxy (DSV Cryptoclub & LUX Galaxies) dalam senarai Amaran Pengguna Kewangan bank pusat itu, Vida berkata ia tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk meneruskan operasi mata wang kripto tersebut.

"Harus (teruskan) bisnes ini untuk kepentingan ekonomi sejagat. Ini adalah jihad," katanya.

Beliau turut menegaskan Lavida Coin bukan pelaburan wang haram.

"Lavida Coin bukan scam. Saya ada di sini, saya genuine dengan bisnes saya. Saya antara operator yang berani muncul di khalayak ramai bercakap mengenai pelaburan ini.

"Saya tahu pelaburan ini boleh memberi keuntungan kepada masyarakat sejagat. Malah saya perlu mencari satu pendekatan cara untuk jadikan Lavida Coin ini satu mata wang digital paling mahal di dunia," katanya.

BNM pada Rabu menyenaraikan operator di sebalik Lavida Coin dalam senarai Amaran Pengguna Kewangan.

Senarai Amaran Pengguna Kewangan itu merujuk kepada syarikat dan laman web yang tidak dibenar atau dilulus mengikut undang-undang serta peraturan berkaitan yang ditadbir BNM.

Berdasarkan Amaran Pengguna Kewangan yang dikeluarkan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang deposit atau pelaburan dengan individu atau entiti yang tidak dikawal selia mengikut undang-undang berkaitan.

Terdahulu, SC turut memberitahu sedang memantau maklumat sedia ada mengenai mata wang kripto Lavida Coin bagi menentukan sama ada wujud sebarang perlanggaran undang-undang sekuriti.

Baru-baru ini Vida memperkenalkan mata wang digital atau kripto dikenali Lavida Coin pada harga yang ditetapkan iaitu 1 LVC bersamaan AS$0.66 (RM2.71).

Vida berkata, ia ditawarkan pada harga serendah RM99 bagi 30 unit Lavida Coin sehingga RM9,900 (3,000 Lavida Coin) dan urus niaga dijalankan dalam Ringgit Malaysia, Dolar Singapura, Dolar Brunei dan Dolar Amerika Syarikat (AS).

Lavida Coin, Datuk Seri Vida

Artikel Berikut

Artikel Lain