suria

Siasatan 1MDB 60 peratus selesai - SPRM

PUTRAJAYA: Siasatan semula terhadap skandal dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kini 60 peratus selesai, kata Datuk Seri Azam Baki.  

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, pengumpulan bukti dan rakaman keterangan di Malaysia telah selesai, dan suruhanjaya itu kini sedang berusaha untuk mengumpulkan bukti di luar negara.

"Jadi, kami hampir 60 peratus selesai. Kami masih perlu mengumpul bukti dan merakamkan keterangan dari negara lain. Beri kami masa.

"Antara negara yang kita perlu lihat sebagai sebahagian daripada siasatan ialah Amerika Syarikat (AS) dan Singapura," katanya pada sidang media, Khamis.

Menurut Bloomberg, SPRM mengeluarkan waran tangkap terhadap dua bekas eksekutif 1MDB.

Memetik sumber, portal AS mengatakan SPRM sedang mencari bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan dan bekas pengarah eksekutif, Casey Tang Keng Chee.

Kedua-dua mereka dipanggil pada Jun lalu bagi membantu siasatan kes membabitkan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International, bersama-sama dengan dua bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan Eric Tan Kim Loong.

Siasatan turut menyaksikan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa dengan beberapa tuduhan pecah amanah dan rasuah, dengan beliau mengaku tidak bersalah.

Polis berkata, mereka merampas lebih RM1.1 bilion dalam bentuk wang tunai dan barangan berkaitan dengan kes itu.


SPRM, 1MDB

Artikel Lain