suria

Perodua tawar rebat tunai kepada 3,100 pembeli Myvi gara-gara penghantaran lewat

KUALA LUMPUR: Perodua menawarkan rebat tunai kepada 3,100 pelanggan yang terjejas akibat pengeluaran sementara Myvi baharu kerana pihaknya tidak dapat mendaftarkan kereta pelanggan terbabit sebelum 1 September.

Syarikat pembuat kereta itu berkata, pelanggan terlibat sepatutnya menerima kereta Myvi mereka sebelum cukai Jualan dan perkhidmatan (SST) berkuat kuasa pada 1 September.

Pada 1 Jun, kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) dikurangkan daripada 6 peratus kepada sifar menjadikan rakyat Malaysia menikmati cuti cukai selama tiga bulan.

Bagaimanapun, pada 20 Ogos, Perodua mengumumkan pengeluaran Myvi baharu terganggu disebabkan oleh gangguan bekalan oleh pihak vendor.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, kakitangannya akan menghubungi pelanggan-pelanggan yang menempah Myvi dan sepatutnya didaftarkan sebelum 1 September.

"Kami ingin menawarkan rebat tunai kepada pelanggan setia kami sebagai ganti rugi atas ketidakselesaan yang dialami oleh mereka.

"Dalam pada itu, kami akan memastikan mereka dimaklukmak dari semasa ke semasa tentang penghantaran Myvi mereka," katanya.

"Kami meminta maaf secara ikhlas bukan hanya kepada mereka yang tidak menerima pesanan mereka sebelum pengenalan semula SST, tetapi juga kepada setiap pelanggan yang telah menempah Myvi baharu selepas itu kerana gangguan pengeluaran ini pastinya akan menunda penghantaran Myvi yang ditempah baru-baru ini," tambah beliau.

Zahari berkata, Perodua sedang berusaha untuk memastikan pengeluaran Myvi diteruskan secepat mungkin. - The Star

Myvi, Perodua

Artikel Lain