suria

Hari Kebangsaan 2018 bakal catat sejarah kerana disambut dengan kerajaan baharu

PUTRAJAYA: Selepas 13 tahun, acara kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2018 kembali dengan penuh bersejarah ke pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan pada Jumaat ini.

Sambutan kali ini mencatatkan sejarah kerana ia signifikan bagi meraikan pemerintahan kerajaan Persekutuan, yang kini diterajui Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, ia mencipta sejarah kerana tonggak pemerintahan baharu itu dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kembali menerajui kerajaan pada usia 93 tahun sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas berjaya mengetuai Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei lepas.

Sebelum ini, Dr Mahathir menerajui kepimpinan negara sebagai perdana menteri keempat dari 16 Julai 1981 hingga 31 Okt 2003.

Pemilihan Putrajaya sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini pastinya istimewa dan sentimental bagi Dr Mahathir kerana beliau merupakan insan yang mencetuskan ilham membangunkan kawasan itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Prang Besar, menjadi pusat pentadbiran negara pada 1995.

KIBAR JALUR GEMILANG

Bulan Kemerdekaan dan sambutan Hari Kebangsaan 2018 yang bertema  'Sayangi Malaysiaku' adalah untuk meraikan dan meningkatkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini pastinya dinantikan ramai sesuai dengan semangat Malaysia Baharu yang sedang dirasai seluruh rakyat Malaysia ketika ini,” kata Pengarah Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj) Tengku Aina Tengku Ismail Shah.

Dr Mahathir bergelar perdana menteri sekali lagi pada usia 93 tahun. - Bernama.

Bagi memeriahkan sambutan pada 31 Ogos itu, semua rakyat Malaysia diminta mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga sebagai cara mereka membuktikan manifestasi kasih sayang terhadap negara.

PPj juga mengedarkan kira-kira 3,000 bendera kepada penduduk Putrajaya untuk dikibarkan di kawasan kediaman mereka selain memasang 2,000 bendera di jalan-jalan utama sejak pertengahan bulan ini.

"Penduduk tidak hanya memasang bendera yang diberikan tetapi turut bergotong-royong menghiasi blok-blok kediaman mereka dengan Jalur Gemilang,”katanya.

PERSIAPAN

Tengku Aina berkata sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 peringkat kebangsaan, pihak PPj dipertanggungjawabkan mengendalikan logistik, perbarisan serta perarakan dengan pihaknya memulakan persiapan seawal Jun lepas.

"Kita menyasarkan kunjungan sehingga 300,000 orang ke Putrajaya pada 31 Ogos nanti," katanya sambil meminta pengunjung untuk hadir lebih awal iaitu sebelum 7 pagi bagi mengelakkan kesesakan susulan penutupan beberapa jalan utama.

Beberapa jalan utama di Putrajaya akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bermula Ahad lepas hingga 31 Ogos sempena acara raptai dan sambutan Hari Kebangsaan 2018.

Antara jalan berkenaan ialah Laman Perdana, Persiaran Perdana, Lebuh Wawasan, Lebuh Saujana, Lebuh Bestari, Lebuh Setia, Jalan Perpaduan, Jambatan Wawasan, Jalan Pembangunan, Jalan Kemerdekaan dan Jalan T. A. Rahman.

Kira-kira 6,000 lot parkir awam disediakan selain adanya bas ulang-alik bagi memudahkan mereka yang meletakkan kenderaan di Putrajaya Sentral ke lokasi sambutan.

Persediaan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 telah dilakukan sejak Jun lepas.

PERARAKAN

Sempena sambutan kali ini, kontinjen perarakan melibatkan 12,714 orang, 25 ekor anjing, 60 ekor kuda, 251 aset darat dan 54 aset udara milik Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta agensi lain.

Kontinjen itu akan berarak di sepanjang Persiaran Perdana yang sejauh 3.2 kilometer seawal 8 pagi.

Selain itu, Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018, yang dilancarkan Dr Mahathir di Padang Kota Lama, Pulau Pinang pada 4 Ogos lepas, bakal tiba di Dataran Putrajaya pada Jumaat ini.

Konvoi itu disertai 133 orang dan 52 kenderaan termasuk motosikal dengan misi kemerdekaan ke seluruh Semenanjung Malaysia.

Sehingga kini, sambutan Hari Kebangsaan telah diadakan di Putrajaya pada 2003 dan 2005.

Hari Kebangsaan 2018 bakal diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V serta kehadiran Perdana Menteri dan barisan jemaah menteri. - Bernama

Hari Kebangsaan 2018

Artikel Lain