suria

Ibu reda hilang dua anak lelaki sekelip mata

Mayat dua beradik yang ditemui mati lemas dibawa ke HTAA. Foto ihsan APM

KUANTAN: Tiada ungkapan dapat menggambarkan betapa luluhnya hati seorang ibu sebaik menerima perkhabaran dua anak lelaki yang menjadi penyeri dalam keluarga selama ini, lemas dalam kejadian di Muara Sungai Balok, petang Jumaat.

Wan Norhuda Wan Chik, 41, berkata sebaik seorang jiran datang ke rumah menyuruhnya datang ke kawasan pantai tidak jauh daripada kediamannya itu, dia mula tidak sedap hati dan merasakan ada sesuatu menimpa kedua-dua anaknya itu.

"Apabila tiba di pantai, saya lihat mayat Muhammad Amirul Mukminin Abu Hanifah, 11, terbaring di pantai.

"Sementara mayat anak bongsu saya, (Muhammad Hafizul Iman, 10 tahun) masih belum ditemui," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini malam tadi.

Wan Norhuda yang mempunyai empat anak lagi kesemuanya perempuan, tidak menyedari bila anak kelima dan keenamnya itu keluar dari rumah dan itu kali pertama mereka ke pantai kerana sebelum ini, mereka sering dilarang ke sana.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang Jumaat, dua beradik murid Sekolah Kebangsaan Balok itu lemas selepas mandi bersama dua rakan mereka di Muara Sungai Balok.

Bagaimanapun dua rakan mangsa, Ahmad Adam Naufal Ahmad Yamizi, 11, dan Mohamad Lokman Hakim Suhamizan, 10, berjaya diselamatkan orang awam yang berada di kawasan berhampiran.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan Mohd Razali Mustafar berkata pihak sekolah akan menguruskan soal tuntutan insurans kedua-dua mangsa tersebut bagi meringankan beban keluarga mereka.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota, yang menziarahi keluarga mangsa, turut melahirkan rasa simpati dan menzahirkan komitmen untuk membantu keluarga mangsa. - BERNAMA

lemas, Sungai Balok

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain