suria

Dana MyBrain tak pernah sampai ke Kementerian Pendidikan - Maszlee

PUTRAJAYA: Keputusan menangguhkan program MyBrain15 adalah kerana peruntukan RM90 juta tidak pernah sampai ke Kementerian Pendidikan.

Menteri Penddikan Dr Maszlee Malik berkata  ia adalah langkah politik daripada kerajaan terdahulu memandangkan peruntukan RM90 juta sememangnya tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan pegajian penerima.

Beliau berkata keseluruhan kos yang perlu ditanggung adalah RM612 juta dan  ini memberikan implikasi yang besar.

"Kementerian sentiasa prihatin terhadap masa depan dan sokong segala usaha untuk menjadikan rakyat dapat akses kepada pembelajaran di peringkat siswazah dan kedoktoran,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan  Laporan Tahunan 2017 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menerusi program “Bicara Khas Bersama Menteri” terbitan RTM pada 25 Julai lepas, Maszlee memaklumkan bahawa program MyBrain iaitu skim pembiayaan pendidikan oleh Kementerian Pendidikan untuk Sarjana (Master) dan Kedoktoran (PHD) ditangguhkan.

Jelasnya, program tersebut ditangguh kerana kerajaan sebelum ini meninggalkan hutang yang begitu banyak.

Tambah Maszlee, peruntukkan besar RM612 juta bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi serta keadaan ekonomi semasa.

“Saya cakap ditangguhkan kerana kelulusan bukan  di pihak kami. Kalau di pihak kami, kami ingin semua pihak dapat belajar tapi pemberian wang itu bergantung kepada Kementerian Kewangan,” katanya.

Justeru, Maszlee menegaskan pihaknya tidak akan melupakan 10,000 penerima yang akan melanjutkan program MyBrain ini.

“Cuma keputusan bukan di tangan kami. "Saya akan terus membantu dan akan memastikan bahawa kita akan berikan kerjasama. Jadi mereka perlu bersabar,” katanya.

Mengulas motif forum bertajuk Perlukan Kita Menulis Semula Buku Sejarah?, Maszlee berkata pihaknya akan mengadakan pendekatan konsultasi melibatkan pakar sejarah serta menjalankan kajian sebelum membuat sebarang keputusan berhubung isu itu.

“Isu yang lebih utama adalah tentang bagaimana ahli-ahli sejarah melihat kepada sejarah dulu.  “Saya kena mendengar (apa kata) pakar-pakar kerana mereka ini yang akan menjadi tonggak kepada pelajaran sejarah negara,” katanya.

Media melaporkan mengenai wacana ‘Should We Rewrite Our History Book?' (Perlukah Kita Menulis Buku Sejarah) yang mana para panelis berpendapat kandungan buku teks sejarah di negara telah dijadikan propaganda kerajaan terdahulu dan perlu dikaji semula.

Forum tiga hari bertajuk ‘A People's History of Malayan Emergency' itu turut memberi gambaran perjuangan kemerdekaan oleh haluan kiri seperti Parti Komunis Malaya (PKM) perlu mendapat pengiktirafan.-Bernama


Maszlee, MyBrain

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain