suria

Kes Najib bakal dikendalikan hakim baharu?

KUALA LUMPUR: Hakim, Datuk Sophian Abdul Razak yang ditugaskan untuk mengendalikan kes perbicaraan tiga tuduhan pecah amanah dan satu salah guna kuasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa bakal dipindahkan ke bahagian lain mahkamah, berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Memetik laporan portal Malaysiakini, ia berikutan gesaan Badan Peguam Malaysia yang mahu Sophian menarik diri daripada mendengar perbicaraan tersebut demi memelihara integriti badan perundangan, selain mengelak sebarang kemungkinan berlaku pertimbangan berat sebelah.

Hal itu dibangkitkan ekoran bahawa Sophian adalah merupakan adik kepada salah seorang exco Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak.

Mohd Soffi ialah pemimpin Umno yang terpilih menjadi anggota Dewan Undangan Negeri Benta, Pahang, selama lima penggal dan terpilih menjadi Exco sebanyak empat kali.

Secara kebetulan Najib berasal dari Pahang dan kini menjadi ketua Umno Pekan. Beliau juga bekas presiden Umno.

Bagaimanapun, dalam laporan sama, Peguam Negara Tommy Thomas berkata beliau tidak mengetahui latar belakang Sophian ketika ditanya wartawan selepas Najib didakwa.

Menurut dua sumber berbeza memberitahu hakim terbabit akan bertugas di bahagian komersial Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sementara itu hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali - yang dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada April 2015 dan disahkan tahun lalu bakal bertugas di bahagian jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bermula pada 1 Ogos ini.

Bagaimanapun, setakat semakan pada Khamis, Sophian masih disenaraikan sebagai hakim yang akan mendengar perbicaraan ke atas Najib. - Sinar Harian

Najib Tun Razak, hakim

Artikel Lain