suria

"Dulu perkataan trilion pun kita tak pernah dengar"

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan kerajaan yang sekali lagi mendapatkan pinjaman kewangan daripada Jepun.

Katanya, hutang negara tidak pernah mencecah lebih daripada RM300 bilion ketika membuat pinjaman daripada Jepun pada tahun 80-an dan 90-an.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) yang melahirkan kebimbangan bahawa pinjaman yen oleh Malaysia akan membebankan negara seperti yang pernah berlaku pada tahun 80-an.

“Bagan Datuk sebut beberapa angka tetapi tiada bukti bertulis kononnya hutang dulu lebih banyak daripada hutang sekarang. Kalau YB semak laporan tahunan, YB akan dapati hutang dulu tak lebih RM300 bilion iaitu hanya 27 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika itu.

“Ia boleh dilihat dalam laporan tahunan pada 1980 dan 1990, itu angka sebenar. Kalau YB dapat tunjuk angka berlainan, saya amat berterima kasih kerana itu bermakna saya tak betul,” katanya.

Dr Mahathir juga meminta Ahmad Zahid menunjukkan bukti sekiranya hutang negara dulu lebih banyak berbanding hutang negara ketika ini yang mencecah RM1 trilion.

“Saya ada di situ (sebagai Perdana Menteri) 22 tahun, jadi sedikit sebanyak tahu tentang angka pertumbuhan, kewangan dan hutang. Tak pernah kita hutang RM42 bilion sekali, kalau ada bukti sila tunjukkan.

“Dan tak pernah kita ada hutang lebih RM1 trilion. Perkataan trilion pun kita tak pernah dengar.

“Tetapi sekarang ini kita dengar negara hutang lebih daripada RM1 trilion. Pada saya, RM300 bilion itu kuranglah daripada RM1 trilion,” katanya.-SinarHarian





Mahathir, trilion, Dewan Rakyat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Aplikasi jejak lokasi anak

Artikel Lain