suria

Kumpul lebih 20,000 artikel tentang Tun M sejak 37 tahun

HULU TERENGGANU: Kerja gila dan sia-sia! Itu antara kata-kata pernah diterima seorang bapa 11 anak, di sini, suatu masa dahulu dek kerana minatnya mengumpul artikel berkaitan pemimpin nombor satu negara, Tun Mahathir Mohamad.

Namun, ia tidak pernah melunturkan semangat Ahmad Azmi Abu Bakar, 53, dari Taman Ajil Perdana, yang kini mempunyai lebih 20,000 artikel mengenai Mahathir yang dikumpulnya sejak 37 tahun lalu.

Berkongsi cerita, segalanya bermula sekadar suka-suka sebagai terjemahan rasa kagumnya kepada ketokohan Mahathir membangunkan negara sewaktu bergelar perdana menteri keempat.

“Saya amat meminati Tun M dan selepas keratan akhbar cecah lebih 200 keping, daripada suka-suka ia telah jadi hobi dan minat yang kian mendalam untuk terus kumpul setiap berita tentang beliau di dada akhbar sebagai koleksi peribadi.

“Peringkat awal dahulu, setiap hari saya akan membeli sekurang-kurangnya dua naskah akhbar bagi mencari laporan berita berkaitan Tun M. Pendek atau panjang artikel itu, saya tetap akan potong untuk disimpan.

“Ada individu yang kata minat saya ini sia-sia dan kerja gila tetapi semua itu tambah kuatkan lagi semangat untuk mengumpul artikel berkaitan Tun M. Siapa sangka, beliau kini sekali lagi menjadi perdana menteri.

Kotak kayu yang ditempah khas sebagai tempat simpanan koleksi keratan akhbar.

Memetik laporan Sinar Harian, Kotak kayu yang ditempah khas sebagai tempat simpanan koleksi keratan akhbar.

Rujuk arkib negara cara simpan

Ahmad Azmi berkata, tidak mahu usahanya itu sia-sia kerana kertas keratan akhbar tidak tahan lama dan bertukar kuning, dia turut merujuk kepada pihak Arkib Negara berhubung cara penyimpanan yang betul.

“Saya perolehi cara betul menyimpan keratan akhbar dan ikut segala nasihat serta pandangan diberikan. Bagi menjamin ketahanan, saya ‘laminate’ akhbar tersebut selain simpan dalam kotak kayu.

“Sekarang ini ada lebih 200 keping keratan akhbar siap ‘laminate’ dan ada yang siap dibingkaikan sebelum disimpan dalam kotak kayu. Saya ada 10 kotak kayu ditempah khas untuk simpan artikel.

“Kotak kayu khas ini bagi elak keratan akhbar terlalu terdedah kepada udara. Masih banyak lagi belum ‘laminate’ serta dibingkaikan dan saya akan lakukan sedikit demi sedikit secara berterusan.

“Kos untuk bingkaikan semua koleksi artikel Tun M ini dijangka menelan belanja sebanyak RM15,000 dan memerlukan kira-kira 300 kotak kayu,” katanya yang memiliki anak berusia dua hingga 27 tahun itu.

Keratan akhbar berkaitan Tun M dimiliki Mohd Azmi disimpan rapi sebagai sejarah untuk tatapan generasi muda.

Keratan akhbar berkaitan Tun M dimiliki Mohd Azmi disimpan rapi sebagai sejarah untuk tatapan generasi muda.

Dari kerja gila jadi bahan sejarah

Ujarnya, kata-kata kerja gila pernah dilemparkan kepadanya itu telah menjadi sejarah hari ini apatah lagi Mahathir sekali lagi bergelar perdana menteri di usia 93 tahun dan ia begitu menggembirakannya.

“Pada tahun 1993, saya pernah dijemput mengadakan pameran membabitkan bahan berita berkaitan Tun yang dikumpul ini di Muzium Melaka. Tentunya ia sesuatu perkara cukup mengujakan.

“Sekiranya ada mana-mana pihak termasuk institusi pengajian tinggi sudi bekerjasama ingin lakukan kajian atau perkara-perkara lain yang berkaitan, saya bersedia untuk itu dengan adanya koleksi artikel Tun M ini.

“Ketokohan Tun M, membuatkan saya mengumpul keratan akhbar dan sanggup belanjakan sejumlah wang bagi memelihara bahan sejarah itu untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

Ahmad Azmi sewaktu berjumpa Tun M dalam satu program di Dun Ajil pada Mac tahun lalu.

Ahmad Azmi sewaktu berjumpa Tun M dalam satu program di Dun Ajil pada Mac tahun lalu.

Teruja jumpa Tun M

Sebagai peminat dan insan yang kagumi Mahathir, tentunya perkara mengujakan apabila dapat bertentang mata dengan idola dan hal sama pastinya pernah dialami Ahmad Azmi.

Katanya, sudah beberapa kali dia berpeluang berjumpa Mahathir dan kali terakhir pada Mac tahun lalu sewaktu Mahathir ke Hulu Terengganu dan sempat menghadiahkan cenderahati kepada Bapa Pemodenan Malaysia itu.

“Saya begitu gembira apabila Tun M sekali lagi menjadi perdana menteri kerana merasakan ia sesuatu yang menakjubkan. Saya kini kembali giat mengumpul berita mengenai Tun M.

“Walaupun sudah menjangkau 93 tahun, namun Tun M tetap gigih membangunkan negara dan contoh ditunjukkan itu membuatkan saya cukup kagum dan amat sayang pada beliau,” katanya.

Tun Mahathir

Artikel Lain