suria

Najib mohon batal Tommy ketuai pasukan pendakwaan

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat permohonan rasmi kepada Mahkamah Tinggi untuk tidak membenarkan Peguam Negara Tommy Thomas daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kesnya.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata proses pemfailan permohonan itu akan dilakukan dalam masa dua minggu lagi.

"Kami mahu menyelesaikan penyelidikan kami terlebih dahulu dan mengumpul semua bahan yang diperlukan.

"Kami akan menyusun semua kenyataan yang dikeluarkannya mengenai klien saya susulan pendakwaan kes (Rabu)," kata Shafee kepada The Star pada Khamis.

Beliau berkata pasukannya memerlukan masa untuk mencari semua bahan yang diperlukan dan memfailkan permohonan itu sebaik sahaja dokumen lengkap.

Pada Rabu, Najib didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah keseluruhan RM42 juta.

Bagaimanapun beliau tidak mengaku bersalah atas semua pertuduhan tersebut.

Bagi tiga pertuduhan pecah amanah, Najib selaku penjawat awam iaitu perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat SRC International didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM42 juta yang di Menara Ambank, Jalan Raja Chulan antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014.

Beliau turut didakwa menggunakan jawatan sebagai Perdana menteri ketika itu untuk suapan berjumlah RM42 juta ketika mengambil bahagian atau terlibat membuat keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia bagi pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada SRC International.

Mengulas mengenai isu pembatalan, Tommy berkata beliau mahu menunggu permohonan tersebut difailkan pihak lawan dan tidak memberikan komen lanjut.

Terdahulu, Tommy mendakwa pihak pendakwaan mempunyai kes kuat terhadap Najib berhubung penglibatannya dalam SRC International.

"Kami membuat kesimpulan bahawa kami mempunyai kes prima facie yang kuat tetapi menerima beban bukti bahawa tertuduh tidak bersalah sehingga terbukti bersalah," katanya.

Najib Tun Razak, Tommy Thomas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain