suria

Zeti tolak dakwaan Najib berkaitan RM2.6 bilion

PETALING JAYA: Bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz telah menolak dakwaan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau dan bank pusat mengetahui tentang deposit sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaunnya pada tahun 2013.

Beliau juga berkata Najib dan "Menteri Kabinet" pada masa itu memintanya mengeluarkan kenyataan untuk membersihkan nama Perdana Menteri ketika itu berhubung dengan RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaunnya sebelum pilihan raya umum 2013.

Zeti berkata beliau enggan mengeluarkan kenyataan itu kerana tidak mengetahui transaksi yang berlaku dalam akaun Najib.

"Saya tidak tahu mengenai RM2.6bil yang telah dimasukkan ke akaunnya," katanya menjawab soalan The Star.

Zeti, yang meninggalkan Bank Negara pada 2016 selepas berkhidmat selama 15 tahun, juga mendakwa Najib meminta beliau mengeluarkan kenyataan pada bulan Julai 2015 untuk membersihkannya.

"Malah pada 3 Julai 2015, saya dipanggil ke pejabat Perdana Menteri. Beliau membuat permintaan untuk saya mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak melakukan apa-apa salah dalam akaunnya.

"Saya memaklumkan kepadanya bahawa saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan seperti ini kerana saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai transaksi yang berlaku dalam akaunnya," katanya.

Minggu lalu, Najib, yang ditangkap awal Selasa berhubung penyiasatan ke SRC International Sdn Bhd, berkata Zeti dan Bank Negara menyedari RM2.6 bilion itu masuk ke dalam akaunnya pada Mac 2013.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

"Belum tahan Rosmah"

Artikel Lain