suria

Ahmad Zahid selesai disoal siasat

PUTRAJAYA: Selepas lapan jam, bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akhirnya selesai disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presiden baharu Umno itu tiba di ibu pejabat SPRM dekat sini kira-kira pukul 9.52 pagi dan meninggalkan bangunan itu pada pukul 6.30 petang.

Ahmad Zahid memberitahu pemberita bahawa beliau ditanya untuk menjelaskan kenyataan pada 2015 di mana beliau mendakwa telah bertemu keluarga kerabat diraja Arab Saudi yang didakwa menderma wang kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Disebabkan kenyataan itu hanya dilaporkan di media, saya ditanya untuk menjelaskan butiran lanjut mengenai kenyataan itu.

"Oleh itu ia mengambil masa. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SPRM kerana bersikap profesional dalam melaksanakan tugas mereka," katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau akan kembali ke pejabat SPRM pada Selasa untuk disoal siasat berhubung perkara berkaitan yayasan amal Islam di mana beliau adalah pengerusinya.

"Soal siasat mengenai 1MDB sudah dilakukan secukupnya," kata Ahmad Zahid.

Pada 22 Ogos 2015, Ahmad Zahid semasa pembukaan Bahagian Umno Sri Gading berkata beliau telah bertemu keluarga Arab yang mendermakan sejumlah AS$700 juta ke akaun peribadi Najib.

Ahmad Zahid Hamidi, Umno, 1MDB

Artikel Sebelum

Jamal akhirnya ditahan

Artikel Lain