suria

Umno perlu minta maaf kepada rakyat - Ku Li

Tengku Razaleigh Hamzah.

BUTTERWORTH: Calon Presiden Umno Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah akan menganjurkan Umno untuk meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas kegagalan menunaikan tanggungjawab dengan baik sehingga mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu berkata perkara itu akan dilakukan sekiranya beliau dipilih menjadi presiden Umno.

Katanya beliau mahu menganjurkan Umno di semua peringkat cawangan dan bahagian untuk meminta maaf kepada rakyat supaya parti itu dapat mendekati semula rakyat sekali gus mengajak mereka kembali bersama Umno.

"Saya nak menganjurkan kita minta maaf dengan rakyat Malaysia atas kesilapan kita kerana tidak menyempurnakan tanggungjawab sebagai amanah sehingga menyebabkan mereka (rakyat) marah. Agama kita juga menganjurkan kita untuk meminta maaf...itu budaya kita.

"Saya rasa mereka akan memaafkan kita. Itu yang mesti kita lakukan. Minta maaf kepada semua kerana kita cuai dengan amanah yang telah diberikan kepada kita," katanya berucap pada majlis Sesi Ramah Mesra Bersama Tan Sri Tengku Razaleigh, di sini Rabu.

Sementara itu, pada sidang media, mengulas mengenai sesetengah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan anggota Umno yang bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas atau menyertai parti lain, Tengku Razaleigh menyifatkan tindakan itu berlaku kerana mereka berasa 'hilang semangat' selepas kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

“Mereka semua hilang semangat… barangkali menunggu-nunggu kepada pimpinan supaya adakan hala tuju, petunjuk ke mana arah tuju parti ini. Sekarang ini parti ini seolah-olah macam 'leaderless'. Jadi, mereka nak kepada 'direction'.

"Barangkali yang tak kuat iman tu tak kekal, entah ada pujukan dari orang lain saya tidak tahu. Saya rasa itulah asasnya, mereka telah hilang semangat dalam perjuangan. Jadi kita kena hidupkan kembali supaya akan ada semula keyakinan kepada masa depan parti,” katanya.

Ditanya sama ada Umno perlu memperkenalkan baiah seperti PAS bagi menyekat anggotanya keluar parti, beliau berkata tidak perlu.

Mengulas sama ada BN masih relevan selepas beberapa parti komponen umum keluar daripada gabungan berkenaan, Tengku Razaleigh berkata BN masih relevan walaupun bergerak dengan hanya satu parti berdasarkan kepada idea asal kepada penubuhan parti keramat itu.

"Tun Abdul Razak mengilhamkan BN sebagai penambahbaikan kepada Perikatan, semata-mata demi kebaikan politik supaya kita tidak terlalu bermain politik … demi usaha pembangunan negara. Bagi saya ia satu idea mulia. Mungkin mereka (parti komponen) telah lupa, disebabkan kita kalah dengan teruk.

“Ia (BN) masih relevan, walaupun dengan hanya satu parti ia masih relevan disebabkan idea asal penubuhan BN,” katanya. - BERNAMA

Umno, Ku Li

Artikel Sebelum

Artikel Lain