suria

Projek Solar: Pengarah Urusan, peguam direman

PUTRAJAYA: Dua lelaki termasuk seorang pengarah urusan sebuah syarikat yang berpangkalan di Bintulu direman enam hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan pemberian kontrak projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap pengarah urusan bersama peguam syarikat itu mulai Rabu sehingga 2 Julai bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.

Pengarah urusan yang berumur 59 tahun itu ditahan pada 5.30 petang Selasa manakala peguam berusia 30 tahun ditahan pada 2.45 petang Selasa ketika mereka hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 (a) Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan palsu. Kedua-dua lelaki yang berbaju lokap SPRM itu tiba di perkarangan mahkamah pada 9.30 pagi dengan bergari.

Pada awal Jun, sebuah portal melaporkan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion di Sarawak yang didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan seorang bekas pemimpin tertinggi negara.

Pemimpin berkenaan turut didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan pada Januari tahun lepas agar melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu bagi projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak.

Pada 11 Jun, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata Kementerian Pendidikan telah memulakan proses siasatan dalaman bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam isu penyelewengan pemberian kontrak membekal tenaga solar dan diesel di 369 sekolah di Sarawak.

Terdapat 369 sekolah di negeri itu yang tidak mempunyai bekalan elektrik tetap dan hanya menggunakan genset diesel untuk menjana elektrik.

Sebelum 2017, bekalan diesel kepada sekolah adalah daripada beberapa kontraktor yang dibekalkan secara kontrak.

Bermula 1 Jan 2017, Jepak Holding Sdn Bhd, yang asalnya satu daripada kontraktor terlibat, telah diberikan kontrak membekalkan elektrik kepada semua 369 sekolah itu bagi tempoh tiga tahun sehingga 31 Disember 2019 dengan nilai 'melebihi RM1 bilion' termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Selain membekalkan diesel di sekolah-sekolah pedalaman di Sarawak, syarikat itu juga memasang sistem solar hibrid dan penyelenggaraan generator di 369 sekolah pedalaman selama tiga tahun. - BERNAMA

solar, reman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain