suria

Penyata kewangan 1MDB tidak dinilai dengan tepat

PETALING JAYA: KPMG Malaysia, bekas firma audit bagi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendapati penyata kewangan yang diaudit antara 2010 dan 2012 tidak tepat.

Penemuan itu dirungkai selepas firma audit berkenaan menganalisis laporan Ketua Audit Negara yang dikemukakan 1MDB.

Lembaga Pengarah 1MDB dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, penyata kewangannya bagi tahun-tahun kewangan berakhir pada Mac 2010, 2011 dan 2012 yang diaudit KPMG tidak memberikan penilaian benar dan adil terhadap syarikat itu.

Ia diketahui selepas mereka menerima surat bertarikh Jun 2018 dari KPMG menasihati mereka bahawa 1MDB perlu mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak pergantungan lanjut untuk tiga laporan audit bagi tahun kewangan dinyatakan.

Menurut KPMG, mereka membuat keputusan tersebut selepas melihat Laporan Ketua Audit Negara yang baru-baru ini dijadikan dokumen terbuka dan dokumen lain berkaitan yang telah ditahan daripada pengurusan 1MDB sebelum ini.

Sekiranya dokumen-dokumen tersebut telah didedahkan kepada juruaudit, KPMG percaya maklumat tersebut “akan memberi impak yang besar kepada penyata kewangan dan laporan audit yang berkaitan”.

Menurut Lembaga Pengarah 1MDB, KPMG telah menasihatkan agar1MDB memaklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan mengenai status terkini laporan-laporan audit.

1MDB, penyata kewangan

Artikel Lain