suria

Ahmad Said lima jam di SPRM

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said selesai memberi keterangan kira-kira lima jam bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang tiba di SPRM kira-kira 9.30 pagi tadi dan ditemani menantu lelaki Syahirpaul Musa, menawarkan diri untuk memberi keterangan bermula 11 pagi ini.

Ahmad berkata beliau memberi keterangan secara sukarela memandangkan sebelum ini menawarkan diri untuk memperjelaskan beberapa perkara berkaitan Badan Kuasa Pelaburan Terengganu (TIA).

“Saya memperjelaskan semua perkara ditanya kepada saya iaitu dokumen 17 muka surat yang dikemukakan kepada saya.

“Saya mengesahkan tetapi tidak boleh berkongsi mengenai dokumen kerana ia akan mengganggu siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan ibu pejabat SPRM selepas memberi keterangan tersebut, Selasa.

Ahmad berkata beliau juga bersedia memberi semula keterangan sekiranya diperlukan.

Ditanya adakah beliau menggunakan platform itu dengan memberi keterangan secara sukarela kepada SPRM sebagai usaha menarik sokongan kepadanya bagi merebut kerusi Naib Presiden UMNO, Ahmad berkata: “Ini tidak ada kena mengena langsung.”

 “Apa yang saya tekankan ialah kita perlu telus dan integriti dalam apa jua tindakan yang dibuat walaupun kita terpaksa mengorbankan jawatan.”

Pada Mei lalu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu menyatakan kesediaan untuk tampil membantu siasatan terhadap 1MDB.

1MDB bermula sebagai TIA, iaitu sebuah tabung kekayaan berdaulat yang bertujuan memberi pembangunan ekonomi kepada Terengganu untuk jangka panjang dan melestarikan sosioekonomi rakyat negeri itu secara amnya.

Ia ditubuhkan pada 2008 dan kemudiannya bertukar taraf kepada koperasi perbadanan diberi nama 1MDB pada Januari 2009.- Bernama

Ahmad Said, SPRM

Artikel Lain