suria

Keputusan muktamad pemilihan sayap Umno 5 petang ini

KUALA LUMPUR: Keputusan muktamad pemilihan tiga sayap Umno Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di peringkat bahagian dan pusat hanya akan diumum pada pukul 5 petang Ahad, kata Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata sehingga 12.30 pagi Ahad, sebanyak 56 bahagian Umno masih belum selesai  bermesyuarat dan belum menghantar keputusan undian di bahagian masing-masing.

Bahagian-bahagian dimaksudkan  ialah 10 bahagian di Wilayah Persekutuan, Perlis (1), Kedah (6), Perak (6), Selangor (6), Negeri Sembilan (4), Melaka (2), Johor (1), Pahang (6), Terengganu (2), Kelantan (6), dan Sabah (6).

"Setakat ini bahagian yang telah menghantar  borang secara rasmi ialah sebanyak 45 peratus," katanya  kepada pemberita di sini, Ahad.

Perwakilan daripada 191 Bahagian Umno menunaikan tanggungjawab masing-masing mengundi bagi memilih kepimpinan ketiga-tiga sayap parti itu, dengan didahului mesyuarat perwakilan bermula pagi Sabtu.

Ab Rauf turut mengingatkan bahawa sebarang keputusan yang ditular di media sosial adalah tidak rasmi dan bukan daripada ibu pejabat Umno.

Sementara itu, sehingga pukul 1 pagi Ahad, Naib Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan hampir meraih kemenangan bagi jawatan Ketua Puteri Umno dengan memperolehi 73 undi jauh meninggalkan satu-satu pencabarnya Nor Hazreena Mohamad Hashim yang hanya memperolehi sembilan undi.

Bagi kerusi Ketua Pergerakan Wanita, anggota Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad mendahului tipis dengan 34 undi diikuti rapat Datuk Azizah Mohd Dun dengan 32 undi.

Manakala bagi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda, anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendahului dengan 21 undi diikuti Ketua Pemuda Umno, Pahang Mohd Shahar Abdullah dengan 20 undi.

Pemilihan kali ini menyaksikan Ketua Wanita ditandingi tiga calon, Ketua Pemuda sembilan, manakala pertembungan satu lawan satu bagi jawatan Ketua Puteri.  

Setiap satu undi mewakili satu bahagian. - Bernama

Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anwar masuk hospital

Artikel Lain