suria

Tun M setuju kes Altantuya dibuka semula

Dr Mahathir (kanan) ketika menerima kunjungan Dr Shaariibuu (tengah) di Bangunan Perdana Putra, Rabu. Turut hadir Ramkarpal (kiri). Foto Bernama

PUTRAJAYA: Kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu perlu dibuka semula, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pertemuan dengan bapa mangsa, Dr Shaariibuu Setev dan peguam keluarga itu, Ramkarpal Singh, Dr Mahathir bersetuju bahawa kes yang berusia 12 tahun itu perlu disemak semula.

"Beliau (Dr Mahathir) bersetuju bahawa ia adalah kes yang memerlukan siasatan lanjut," kata Ramkarpal.

"Perdana Menteri bagaimanapun juga menegaskan bahawa proses itu harus mematuhi dan mengikut lunas undang-undang.

"Kami juga bersetuju dengan beliau dan telah memulakan proses yang sepatutnya, bermula dengan pertemuan Peguam Negara semalam (19 Jun). 

"Ia merupakan pertemuan yang amat memberangsangkan. Perdana Menteri juga berbincang dengan lebih lanjut bersama Dr Shaariibuu," kata Ramkarpal kepada pemberita di luar pejabat Perdana Menteri di sini selepas mesyuarat yang berlangsung selama 30 minit.

Altantuya dipercayai dibunuh dan badannya diletupkan dengan bahan letupan  di kawasan hutan sekunder di Mukim Bukit Raja, Klang, antara 10 malam, 19 Oktober 2006, dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Pada 2009, bekas anggota Unit Tindakan Khas polis  Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri didapati bersalah membunuh Altantuya. Mahkamah Rayuan mengubah hukuman mereka pada 2013 namun susulan rayuan pihak pendakwaan, hukuman terhadap mereka dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Artikel Lain