suria

Tak boleh halang keputusan PM - Cuepacs

Azih Muda

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memahami perasaan penjawat awam berstatus kontrak yang bercampur baur kerana terkejut dengan peralihan kuasa kerajaan baharu apatah lagi menjelang Aidilfitri ini.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda bagaimanapun berkata, sememangnya penjawat awam yang dikenakan penamatan kontrak itu beranggapan masa depan mereka kabur, namun keputusan itu tidak boleh dipertikaikan kerana tampuk kepimpinan sudah baharu selepas begitu lama di bawah kerajaan BN.

Cuepacs sendiri mengakui pihaknya juga tidak boleh menghalang keputusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tegas Azih, pastinya Dr Mahathir membuat keputusan yang terbaik dalam merancang pentadbiran negara walaupun isu pemberhentian pekerja kontrak ini menyebabkan ada pihak yang terluka.

Katanya, tidak dinafikan ramai yang datang mengadu kepada Cuepacs meluahkan ketidakpuasan hati mereka dan cuba memohon bantuan.

“Tapi Cuepacs hanya sebagai perantara mewakili pekerja. Kita bukan agensi yang mempunyai sumber untuk membantu mereka dari segi kewangan atau agensi menyediakan peluang pekerjaan. Kita hanya perantara untuk menyampaikan rundingan kepada kerajaan, “ katanya.

Menurut Azih, berpuluh-puluh orang dalam kalangan mereka telah datang ke Cuepacs untuk berbincang dan Cuepacs memahami keadaan mereka dengan memberikan nasihat terbaik.

“Mereka tak perlu prejudis sebaliknya tumpukan taat setia kepada kerajaan baharu. Wujudkan perasaan bahawa rezeki adalah di tangan Tuhan dan jangan menyalahkan diri sendiri ataupun malu kepada sesiapa kerana diberhentikan kerja. Mereka kena terima kenyataan kerajaan dah berubah,” katanya.

Cuepacs juga tidak mahu ada dalam kalangan mereka beranggapan keputusan menamatkan khidmat 17,000 pegawai kontrak melalui lantikan politik yang kebetulan dalam suasana orang lain sedang sibuk membuat persiapan Aidilfitri untuk menganiaya sesiapa.

Tegasnya lagi, jangan bersikap membanding-bandingan antara kerajaan BN dan Pakatan Harapan sebaliknya penjawat awam perlu berpegang prinsip iaitu berbakti kepada kerajaan yang memerintah bukan berdasarkan parti.

“Kita tahu Dr Mahathir adalah perdana menteri lama yang masuk semula mentadbir kerajaan. Kita tahu beliau mempunyai pandangan yang jauh dan tidak dijangka oleh kita semua.

“Percayalah, mesti ada sesuatu yang dirancang oleh Dr Mahathir sebagai pemimpin untuk rakyatnya,” tegas beliau.

Nasihat beliau, mereka tak perlu menuding jari kepada sesiapa sebaliknya terus bertindak pantas mencari pekerjaan baharu.

Pada masa sama Azih berkata, Cuepacs tidak menafikan mereka yang mengalami situasi itu begitu tertekan memandangkan musim perayaan Aidilfitri, namun mereka perlu kembali kepada realiti.

Selepas Pakatan Harapan menumbangkan BN pada PRU14, 9 Mei lalu, Dr Mahathir selaku perdana menteri memutuskan 17,000 penjawat awam berstatus kontrak ditamatkan perkhidmatan kerana merupakan pelantikan politik daripada pentadbiran kerajaan BN.

Keputusan itu bagi mengelak pembaziran kerana terlalu ramai lantikan politik selain berhasrat menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Setakat ini Cuepacs telah merayu kerajaan supaya melanjutkan tempoh notis penamatan khidmat sebahagian daripada 17,000 kakitangan itu bagi memberi ruang untuk mereka mencari pekerjaan baharu memandangkan notis pemberhentian sebulan dari 16 Mei hingga 16 Jun adalah terlalu pendek.

Selain itu, tarikh akhir notis perkhidmatan yang bersamaan dengan hari kedua Aidilfitri juga boleh menimbulkan kesulitan lain kepada pekerja berkenaan bersama ahli keluarganya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir memaklumkan seramai 17,000 penjawat awam lantikan politik yang ditamatkan perkhidmatan itu menerima habuan sempena Aidilfitri.

Menurut perdana menteri, kerajaan tidak pernah bersikap zalim kepada mereka, biarpun sebelum ini mereka berkhidmat sepenuhnya untuk melicinkan operasi pentadbiran kerajaan, tetapi untuk membantu BN.-Sinar Harian

Datuk Azih Muda, Cuepacs

Artikel Lain